Pertembungan tiga penjuru

Iklan
Penang FC berada dalam prestasi terbaik menjelang pertemuan menentang TFC di Stadium Bandaraya pada Ahad. -Foto Penang FC

SELEPAS Johor Darul Ta’zim (JDT) sah bergelar juara Liga Super buat kali kelapan berturut-turut, tumpuan peminat bola sepak tempatan pastinya terarah kepada kedudukan naib juara musim ini.

Kedah Darul Aman (KDA) FC, Penang FC dan Terengganu FC (TFC) masing-masing dilihat masih mempunyai peluang untuk mengakhiri saingan Liga Super musim ini di tangga kedua.

Iklan
Iklan

Atas kertas, kelebihan dilihat memihak kepada KDA FC yang bakal berdepan pasukan yang berada di tangga ketujuh, Melaka United FC di gelanggang keramat mereka - Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Namun, tumpuan juga perlu diberikan kepada Penang FC yang pastinya mahu melakar kemenangan ketika berdepan TFC di Stadium Bandaraya dalam usaha ‘mencuri’ slot ke Piala AFC musim depan jika KDA FC tewas kepada Melaka United FC.

Iklan

Keajaiban juga mungkin dicari TFC dalam memburu kedudukan di tangga kedua - dengan syarat mereka menang besar ke atas Penang FC sambil berharap KDA FC tumbang di tangan Melaka United FC.

Bagi penganalisis bola sepak, Azlan Johar, persaingan bagi ketiga-tiga pasukan berkenaan bagi menentukan kedudukan naib juara Liga Super kali ini cukup sengit dan menarik untuk disaksikan.

Iklan

"Bagi saya, KDA FC hampir pasti bergelar naib juara kecuali ada keajaiban yang berlaku pada perlawanan Ahad nanti. Satu mata sudah cukup bagi KDA FC untuk menduduki tangga kedua.

"Bagi Penang FC pula, mereka sudah tentu tidak mahu keciciran tiga mata. Beraksi di gelanggang sendiri sudah tentu menambah semangat Penang FC, apatah lagi mereka masih berpeluang memintas KDA FC.

"Semangat Penang FC ketika ini pastinya berada pada tahap tertinggi. Jadi saya ramalkan hanya KDA dan Penang FC yang bakal dimahkotakan selaku nai juara musim ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Azlan berkata, kekalahan TFC kepada JDT pada 5 September lalu telah menyebabkan skuad Penyu itu berada pada situasi sukar dalam persaingan memburu kedudukan naib juara.

"TFC adalah pasukan yang kuat. Tetapi momentum mereka tidak menentu kerana apabila mereka menang dengan pasukan kuat, selepas itu mereka tewas dengan pasukan yang tidak kuat.

"Saya percaya kekalahan itu pasti bersebab. Mungkin disebabkan pemain ‘berehat’ dengan kurang bijak atau terlalu dibuai keseronokan setelah meraih kemenangan,” ujarnya.