Pesara tentera syukur atap rumah bocor sudah dibaik pulih

Iklan
Noh (kanan) melawat rumah Nasrudin (dua dari kanan) ketika Program JM pada Jumaat.

TANJONG KARANG - Seorang pesara tentera yang menghuni sebuah rumah daif dan bumbung bocor menarik nafas lega selepas kerosakan itu dibaik pulih menerusi Program Jiwa Murni (JM).

Nasrudin Mohamed, 65, berkata, keadaan bumbung rumahnya itu mengalami kerosakan kira-kira dua tahun lalu dan bimbang keadaan akan menjadi lebih teruk.

Iklan
Iklan

"Biasanya jika hujan lebat, boleh nampak siling atas basah dan bimbang jika tidak dibaiki keadaan (kebocoran) akan bertambah teruk," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Program JM dilaksanakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan membaiki rumah bekas tentera tidak berpencen yang daif.

Iklan

Nasrudin yang menetap di Kampung Parit 3 Sungai Burong berkata, dia bersyukur kerana masalah dihadapi mereka sekeluarga selesai.

"Ketika ini saya hanya bekerja sebagai tukang kebun sekolah dan bantuan ini amat meringankan keluarga kami terutama ketika pandemik ini," katanya.

Iklan

Bapa empat anak itu memberitahu, rumah itu didiami bersama isteri, Bariah Marof, 63, dan anak bongsu mereka, Mohd Zamir, 36.

Mengimbau kenangan beliau semasa berkhidmat selama 10 tahun dalam Batalion Ketujuh Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD), Nasarudin memberitahu dia menyimpan banyak memori indah sepanjang bertugas.

"Paling diingati pertempuran dengan komunis pada tahun 70-an di Grik.

"Ketika serang hendap komunis di lokasi itu, beberapa rakan sepasukan parah terkena tembakan dan ada yang buta mata," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, sebanyak tiga rumah penduduk di Parlimen Tanjong Karang menerima manfaat pada program JM.

Jelas beliau, sebanyak RM10,000 diperuntukkan setiap rumah bagi kerja-kerja baik pulih terbabit.

"Semua yang terpilih dalam program ini merupakan bekas tentera tidak berpencen dan ini usaha pihak Kementerian Pertahanan bagi membantu mereka yang banyak menyumbang jasa kepada negara," katanya.