SHAH ALAM - Perjuangan Pasukan Rasuah Busters membasmi amalan rasuah di negara ini harus dipuji dan perlu disokong sepenuhnya oleh seluruh rakyat Malaysia.
Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail berkata, gerakan Pasukan Rasuah Busters memerangi amalan rasuah merupakan tindakan terpuji dalam memulihkan imej Malaysia di mata dunia sebagai sebuah negara bebas rasuah.
Katanya, selain menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih daripada amalan rasuah, gerakan Pasukan Rasuah Busters mampu memupuk dan membina sebuah generasi hadapan yang benci kepada amalan jijik tersebut.
"Agenda baik seumpama ini seharusnya disokong dan didokong oleh seluruh lapisan masyarakat di negara ini termasuk penglibatan daripada pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO).
"Jutaan tahniah dan syabas diucapkan kepada Pasukan Rasuah Busters yang diterajui oleh Datuk Hussamuddin Yaacub bersama lebih 400 pertubuhan sebagai rakan gabungan untuk menjayakan agenda penting ini demi Malaysia tercinta,” katanya kepada kru Rasuah Busters pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Ashwad berkata, sebagai sebuah Keluarga Malaysia yang taat kepada keluhuran perlembagaan dan mendakap kemas prinsip Rukun Negara, Astro Awani sentiasa menyokong serta bekerjasama menjayakan program Rasuah Busters.
Katanya, salah satu program yang bakal menyuntik semangat rakyat Malaysia agar memerangi rasuah dalam politik ialah pelancaran gerakan Politik #MalaysiaTanpaRasuah yang akan diadakan pada hari ini.
Katanya, bagi pelancaran program Politik #Malaysiatanparasuah yang berlangsung pada jam 11 pagi itu, Ashwad berkata, Astro Awani akan menyiarkan program tersebut secara langsung serentak di saluran Astro 501, Astro Awani.
Menurutnya, Astro Awani juga akan menyiarkan secara langsung majlis pelancaran itu secara serentak di web Live TV milik stesen televisyen itu.
"Kami juga akan menyiarkan secara langsung serentak di semua platform media sosial Astro Awani di Facebook, YouTube, TikTok, Twitter dan Instagram.
"Liputan berita untuk program ini juga akan disiarkan di Buletin Awani, Awani745 dan Sinar Awani, selain analisis dan dialog dalam program-program hal ehwal semasa di Astro Awani seperti Agenda Awani, Dialog Tiga Penjuru, Consider This dan Awani Pagi,” katanya