BEKAS kapten Manchester United, Wayne Rooney percaya penyerang Manchester United, Cristiano Ronaldo berupaya beraksi sehingga usia 40 tahun, berdasarkan gaya permainan tonggak Portugal tersebut.
"Kali terakhir Ronaldo beraksi di Old Trafford, dia lebih kepada melakukan larian, mengelecek dan hantaran kepada rakan untuk tindakan penyudah.
"Sekarang ini Ronaldo lebih kepada menjaringkan gol, jadi ini membuktikan beliau mula berusaha sehabis baik untuk menyesuaikan dengan pasukan," kata Rooney yang kini merupakan pengendali kelab Liga Kejuaraan, Derby County.
Ronaldo yang berusia 36 tahun sebelum ini menghabiskan enam musim di antara 2003 hingga 2009 di Old Trafford, menjulang lapan kejuaraan utama menyertai Manchester United dari Juventus bulan lalu dengan kontrak dua tahun.
Rooney, penjaring sepanjang zaman The Red Devils, juga menyifatkan bekas pemain Real Madrid tersebut amat berbeza daripada yang meninggalkan United, 12 tahun lalu, namun percaya Ronaldo mampu mengatasi cabaran fizikal saingan liga.
Kemampuannya jelas satu perkara yang penting, tetapi dia juga menjaga penampilan dirinya secara secara lebih rapi pada ketika ini.
"Tidak mengejutkan saya jika Ronaldo bermain sehingga dia berusia 40 tahun, seperti yang dilakukan Ryan Giggs, dan masih menjaringkan gol.
"Biarpun begitu rakan sepasukannya harus bekerja lebih keras. Namun jika situasi dua tahun terakhir sebelum ini kembali, Ronaldo berpotensi menjaring lebih banyak gol seterusnya membantu United menjuarai kejuaraan," katanya.