Sokong penuh penggubalan Akta Pendanaan Politik

Iklan
Ahmad Maslan bergandingan bersama Dzulkefly dan Tricia sebagai panelis pada Forum Akta Pendanaan Politik: Kepentingan dan Cabaran yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada malam Jumaat.
SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyokong penuh penggubalan Akta Pendanaan Politik kerana ia akan memberi panduan kepada pemimpin dalam penerimaan dana politik.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, beliau juga merupakan salah seorang ahli Parlimen yang menjadi mangsa kepada dana politik yang tidak diaktakan.

"Kenapa saya jadi mangsa? Kerana kita tak ada akta dana politik. Kalau ada akta dana politik, contohnya yang menyatakan kita tidak boleh menerima sebarang dana dari luar negara, maka ia jelas dan nyata bahawa dana itu tidak boleh diterima.

Iklan
Iklan

"Jadi saya menyokong penuh (penggubalan akta ini) tetapi ia juga perlu diteliti misalnya bagaimana kalau dana itu daripada dana awam, dana swasta atau bagaimana kalau dana itu dalam bentuk barang," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis dalam Forum Akta Pendanaan Politik: Kepentingan dan Cabaran yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada malam Jumaat.

Iklan

Bergandingan bersama beliau sebagai panelis adalah Pengarah Strategik Parti Amanah Negara (Amanah) merangkap Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Tricia Yeoh.

Forum anjuran Kaukus Ahli Parlimen Muda Dewan Rakyat dan Sinar Harian itu dikendalikan Pensyarah Universiti Sunway, Profesor Dr Wong Chin Huat sebagai moderator.

Iklan

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, banyak perkara yang perlu dibuat kajian sebelum akta itu digubal.

Menurutnya, walaupun draf berhubung akta itu sudah ada, draf itu perlu dibentang semula oleh pihak yang berkaitan supaya ia boleh diberi maklum balas.

"Saya difahamkan sejak 2009 lagi telah ada usaha mewujudkan akta ini. Kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu sudah berura-ura untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) mengenai pendanaan politik dan kemudian terhenti.

"Ia disambung pada 2016 dan sudah ada drafnya. Aktanya sudah ada iaitu Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik tetapi ia tidak dibentang juga. Urusetianya adalah Institut Integriti Malaysia," katanya.

Mengenai kes dirinya yang menjadi mangsa ketiadaan akta dana politik, Ahmad mengatakan terpalit dengan dua kes.

"Saya dituduh menerima sejumlah wang tetapi kononnya saya tidak membayar cukai.

"Akibat daripada itu, saya tidak termasuk dalam senarai (jemaah kabinet) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob," katanya.