PUTRAJAYA - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengumumkan agihan kadar dividen Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) Dana Peladang Kebangsaan (DPK) sebanyak lapan peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, DPK mencatatkan keuntungan sebanyak RM9.05 juta dengan keseluruhan nilai agihan dividen RM7.6 juta bagi tahun kewangan sama.
"DPK mampu memberi pulangan kompetitif dan melebihi dividen sebenar sebanyak 8.8 peratus bagi lima tahun secara berturut-turut sejak tahun 2016 serta mencatatkan keuntungan konsisten setiap tahun dengan margin untung bersih melebihi 80 peratus,” katanya pada sidang akhbar di kementeriannya di sini pada Jumaat.
Menurutnya, meskipun tahun 2020 merupakan tahun sukar berikutan ketidaktentuan pasaran akibat penularan pandemik Covid-19, NAFAS terus memfokuskan kepada strategi pembiayaan dan kepelbagaian portfolio perbendaharaan bagi memberikan daya tahan serta pulangan yang memberangsangkan kepada ahli-ahlinya.
"Tahniah kepada NAFAS atas prestasi cemerlang bagi tahun 2020 sekali gus dapat memberikan kadar dividen yang kompetitif kepada para pelabur SPKP, DPK,” katanya.
Beliau berkata, seramai 5,323 entiti pelabur termasuk ahli menikmati manfaat daripada agihan tersebut.
"Kita jangka lebih ramai lagi ahli-ahli peladang melabur dalam DPK,” katanya.
Ditanya mengenai penguncupan nilai agihan dividen berbanding tahun sebelumnya iaitu RM7.76 juta, Ronald berkata, ia adalah implikasi ekonomi global yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
"Setiap dana mengalami implikasi dengan keadaan perniagaan yang tertutup.
"DPK akan terus mengharungi cabaran dan mengekalkan kejayaan.
"Ini adalah suatu kejayaan menggalakkan dan pihak pengurusan NAFAS berjaya membuktikannya,” katanya.
DPK menyediakan perkhidmatan kewangan yang kompetitif serta menggembleng dana untuk diagihkan dalam bentuk pembiayaan dan pelaburan usahasama kepada ahli serta rangkaian Pertubuhan Peladang.
Ia melibatkan NAFAS, 14 Pertubuhan Peladang Negeri, 279 Pertubuhan Peladang Kawasan dan hampir 1 juta ahli peladang berdaftar di seluruh negara.
Antara beberapa projek dibiayai DPK adalah stesen minyak, tanaman semula ladang sawit, tanaman fertigasi, pembelian jentera pertanian serta modal pusingan ternakan ayam.
DPK sejak dilancarkan pada 17 Disember 2012 sehingga Jun 2021 telah menguruskan aset lebih RM220 juta.
Sementara itu, Pengurus Besar NAFAS, Abu Sujak Sahuji berkata, pihaknya merancang untuk menerokai peluang pelaburan baharu.
"Insya-ALLAH hujung tahun ini atau awal tahun hadapan kita lebih agresif dengan menubuhkan ar-rahnu iaitu satu bisnes yang kita jangkakan memberi pulangan baik,” katanya.
Menurutnya, sasaran lebih ramai pelabur sehingga 10,000 orang sepatutnya dicapai pada tahun ini namun ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.
"Kebiasaannya kita akan buat promosi dan event untuk memaklumkan kepada ahli agar menyertai DPK,” katanya.