NGO, rakyat belum boleh puas hati EIA projek tambak laut batal

Iklan
Pada Rabu, Lembaga Rayuan JAS mengetepikan kelulusan Ketua Pengarah JAS yang memberi kelulusan EIA untuk PSR. Gambar kecil: Muhamad Farid

GEORGETOWN - Badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat yang menentang Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) tidak boleh berpuas hati walaupun kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) bagi projek tambak laut itu dibatalkan.

Pengerusi Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir), Datuk Dr Muhamad Farid Saad berkata, keputusan menang rayuan itu dibuat berdasarkan faktor ketidaktepatan atau kesilapan teknikal yang mana ia boleh diperbetulkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagaimanapun, isu asas (fundamental) berkaitan impak sosioekonomi dan alam sekitar masih belum diperbahaskan.

"Pemikir berpandangan isu asas penentangan itu perlu diketengahkan supaya pihak kementerian dan kerajaan pusat dapat menilai semua faktor yang dibantah sebelum membuat keputusan.

Iklan

"Kerajaan negeri menyatakan hasrat mereka membuat rayuan bagi meneruskan projek tersebut. Oleh itu, Pemikir bersama NGO lain serta warga Pulau Pinang yang prihatin akan terus membantah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Muhamad Farid berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri melihat semula hasrat awal untuk membaiki dan memajukan sistem pengangkutan awam serta bukannya pembangunan tiga pulau yang jauh tersasar dari niat awal itu.

Iklan

Tambahnya, rakyat Pulau Pinang ada hak ke atas negeri mereka.

Dalam pada itu, beliau menempelak kerajaan negeri apabila mendakwa sengaja membelakangkan peraturan sedia ada dalam proses mendapatkan kelulusan perancangan dan pembangunan.

"Adalah jelas bahawa dalam keghairahan pihak kerajaan mahu meneruskan projek tambakan laut, mereka dengan sengaja membelakangkan peraturan sedia ada. Buktinya, keputusan Lembaga Rayuan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 yang dibuat pada 8 September baru-baru ini.

"Ada beberapa perkara penting dipertikaikan oleh wakil nelayan. Persoalannya, apakah pihak berkuasa negeri tidak mengetahui perkara dipertikaikan ini apabila mereka masih meneruskan permohonan EIA?" soalnya.

Beliau menambah, kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab dalam memastikan pelaksanaan kerja dibuat mengikut undang-undang dan peraturan.

"Mereka perlu memastikan sebagai pentadbir yang memegang amanah terutama dalam melaksanakan sesuatu projek yang berimpak besar. Pentadbiran kerajaan negeri diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri perlu menegur pimpinan politik yang rakus jika berlaku kepincangan.

"Dalam keghairahan membangunkan negeri, kerajaan negeri juga bertanggungjawab mendengar keluhan, rintihan dan suara serta cadangan pihak NGO yang mahukan yang terbaik untuk negeri ini. Setiap apa dilakukan oleh kerajaan, rakyat juga mempunyai hak," katanya.

Menurutnya, perlu keseimbangan dalam pembangunan negeri iaitu dari segi taburan hartanah dan pemilikan rumah, keseimbangan kependudukan; pembangunan fizikal; ekonomi; sosial, pendidikan dan agihan kekayaan.

Muhamad Farid menambah, Pulau Pinang tidak akan maju jika ada satu kaum yang jauh ketinggalan.

Oleh itu, pihaknya berharap kerajaan negeri wajib meneliti semula kaedah pembiayaan Pelan Pengangkutan Awam Pulau Pinang (PTMP).

Pada Rabu, Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengetepikan kelulusan Ketua Pengarah JAS yang memberi kelulusan EIA untuk PSR.

Keputusan itu dibuat tiga anggota Lembaga Rayuan JAS diketuai Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayub dan pakar alam sekitar dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Mazlin Mokhtar dan Profesor Madya Dr Ramdzani Abdullah (Universiti Putra Malaysia).

Keputusan Lembaga Rayuan JAS itu menyaksikan kelulusan EIA bagi projek berkenaan diperoleh pada 25 Jun 2019 adalah terbatal dan tidak lagi sah.