Metra gesa luluskan lebih banyak laluan antarabangsa di Kelantan

Iklan
Langkah meluluskan lebih banyak laluan antarabangsa dari atau ke Kota Bharu akan merancakkan industri pelancongan domestik dan antarabangsa ke Kelantan. (Gambar kecil: Ariffahmi)

KOTA BHARU - Ikatan Eksekutif dan Teknokrat Malaysia (Metra) menggesa Kementerian Pengangkutan meluluskan lebih banyak laluan antarabangsa dari atau ke Kota Bharu terutama pasaran Indochina yang sangat dekat dengan pantai timur semenanjung.

Presiden Metra, Ir Ariffahmi Ab Rahman berkata, langkah berkenaan akan merancakkan industri pelancongan domestik dan antarabangsa serta menggalakkan pertumbuhan sihat dalam pelbagai industri hiliran berkaitan pelancongan di Kelantan.

Iklan
Iklan

"Kami menyambut baik kelulusan dan perlaksanaan projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) dengan menjadikannya sebagai satu lagi lapangan terbang antarabangsa dalam negara.

"Projek ini diletakkan sebagai impak tinggi yang akan mengubah landskap kemajuan industri penerbangan dan trafik udara serantau serta ianya berada di Kota Bharu.

Iklan

"Industri penerbangan akan berkembang pesat dengan kemudahan penyelenggaraan pesawat selain membuka lebih ramai anak tempatan yang berminat untuk masuk dalam industri udara seperti juruterbang, kejuruteraan udara dan lain-lain jurusan berkaitan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, rakyat Kelantan juga ingin melihat projek itu akan membantu mempercepatkan lagi infrastruktur yang lain seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lebuh Raya Utama Tengah atau Central Spine Road (CSR) yang akan menghubungkan lapangan terbang dengan pengangkutan lain untuk ke destinasi berbeza.

Iklan

Beliau berkata, selain itu, sistem penyuraian trafik yang cekap akan menjadikan lapangan terbang ini sebagai hub penerbangan yang selesa dan kebanggaan semua.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Ariffahmi berkata, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) juga perlu bersedia untuk menjadi tempat pendidikan bagi penyediaan tenaga profesional supaya dapat penampung keperluan industri masa depan.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri perlu merangka pelan induk pelancongan negeri bagi memanfaatkan semua potensi dan budaya timur yang kaya dengan pelbagai warisan yang boleh dijadikan pakej lengkap dan diletakkan di tempat yang sesuai supaya ia dilihat menarik dari luar negara untuk pelancong selesa berkunjung di sini.

"Makyong, menora, dikir barat dan semua aktiviti budaya perlu dipersembahkan dengan baik dengan sokongan warisan makanan tempatan yang sedia tersohor. Ia perlu disusun semula dengan pakej yang baik serta nilai tambah terkini bagi menarik pelancong.

"Apa yang pasti, Kelantan perlu dizahirkan sebagai hub pelancongan budaya yang unik yang perlu dikenali oleh generasi muda negara dan pelancong asing.

"Konsep pelancongan Islam perlu dilihat semula dengan tambahan program yang menarik khususnya bagi generasi muda dan pesara. Ia juga boleh disesuaikan dengan masa cuti yang banyak di Malaysia supaya golongan muda dan pesara kerajaan boleh datang ke Kelantan dalam tempoh singkat bagi menikmati pelancongan Islam," katanya.