KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Program vaksinasi untuk golongan remaja di Pulau Pinang akan dilaksanakan pada hujung bulan ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Menurutnya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberikan vaksin kepada golongan remaja berkenaan dalam tempoh dua minggu lagi di sekolah dengan ditemani ibu bapa untuk mendapatkan kebenaran.
"Dijangkakan seramai 130,000 remaja di Pulau Pinang akan menerima vaksin bermula minggu keempat bulan ini.
"Pelajar ini akan dipanggil mengikut keutamaan yang dikenal pasti," katanya ketika sidang akhbar bersama Ketua Menteri Pulai Pinang, Chow Kon Yeow di Komtar di sini pada Sabtu
Tambah Khairy, pada minggu hadapan, beliau akan mengumumkan program vaksinasi remaja untuk negeri-negeri yang lain.
"Kita mempunyai tiga juta remaja di seluruh negara dan adalah menjadi indeks petunjuk prestasi (KPI) kami untuk melengkapkan jumlah ini sebelum pembukaan sekolah pada Januari 2022.
"Untuk pembukaan sekolah tahun ini, kami akan buat serentak. Esok (Ahad), Menteri Pendidikan akan umumkan pembukaan sekolah secara berperingkat untuk tahun ini. Oleh itu, kita akan buat serentak program vaksinasi untuk remaja ini," katanya.
Dalam pada itu, menurut Khairy, Pulau Pinang dijangka berhadapan dengan keadaan yang merisaukan dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi sebelum kesan vaksinasi melalui Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP) dapat diperolehi.
Jelasnya, KKM telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan indikator penting seperti kemasukan pesakit ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU), kadar kematian serta kadar jangkitan dapat diturunkan dalam masa terdekat.
Menurutnya, antara strategi yang akan dilaksanakan adalah menyelesaikan program vaksin berikutan ia merupakan perlindungan penting.
"Saya diberitahu bahawa Pulau Pinang akan mencapai 100 peratus lengkap vaksin dewasa pada 31 Oktober ini. Oleh itu, kami sedang mengusahakan untuk pemberian vaksin kepada mereka yang belum disuntik.
"Kami juga sedang menjejaki 10 peratus golongan dewasa yang belum divaksin walau satu dos. Kami akan melaksanakan 'mobile outreach' dengan pergi rumah ke rumah melibatkan wakil rakyat untuk 'mop up' mereka yang belum terima vaksin," katanya.
Selain itu katanya, setelah melaksanakan perkhidmatan 'walk-in' di 10 pusat pemberian vaksin (PPV) untuk golongan dewasa, KKM dengan kerajaan negeri akan melaksanakan perkhidmatan sama kepada warga asing.
"Kami akan melaksanakan perkhidmatan 'walk-in' kepada golongan bukan warganegara selepas ini, seperti yang dilaksanakan di Lembah Klang sebelum ini. Beberapa PPV akan ditetapkan untuk usaha ini.
"Ini adalah usaha kita untuk mempercepatkan pemberian vaksin kepada golongan ini yang belum menerima suntikan melalui Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).
"Kita akan mengadakan kempen komunikasi dalam bahasa warga asing untuk menggalakkan mereka hadir bagi menerima vaksin di PPV yang menyediakan perkhidmatan 'walk-in'," katanya.