TANJONG KARANG - Seorang wanita hanya sempat berhubung dengan suaminya kira-kira satu minit sebelum ditidurkan akibat Covid-19 dan pergi buat selamanya.
Rabiatul Izzati Tenuri, 31, berkata, Allahyarham suaminya, Muhammad Fitri Izzat Mohamad Fairus, 34, yang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB) sempat membuat panggilan video pada jam 7 pagi, 9 Ogos lalu.
"Kali terakhir saya tatap wajah suami menerusi panggilan video dan ketika itu dia beritahu dalam keadaan baik dan tidak mahu ditidurkan.
"Ketika itu, arwah beritahu tak boleh cakap lama sebab bateri telefon bimbit semakin lemah," katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini pada Sabtu.
Bagaimanapun, Rabiatul Izzati berkata, doktor yang menghubunginya pada petang hari sama memaklumkan suaminya itu terpaksa ditidurkan kerana peratusan oksigen semakin merosot.
Ujar Rabiatul Izzati, suaminya yang bekerja sebagai penyelia sebuah syarikat lebuh raya ditidurkan selama 12 hari sebelum pergi buat selamanya pada 21 Ogos lalu.
"Saya terima panggilan video daripada doktor memaklumkan suami sudah meninggal dunia.
"Luluh hati sebaik mengetahui berita itu lebih-lebih lagi saya tidak berada di sisi arwah buat kali terakhir," jelasnya.
Rabiatul Izzati berkata, lebih memilukan apabila dua anak kembarnya, Nur Raisya dan Nur Raiqa yang baharu dilahirkan pada 30 Julai lalu tidak sempat bertemu dengan suaminya.
"Pada mulanya, saya positif Covid-19 dan dimasukkan ke HSB pada 28 Julai. Saya juga ditidurkan bagi melahirkan anak kembar kami secara pembedahan.
"Dua hari selepas sedar, saya ada hubungi arwah dan ketika itu dia sedang menjalani kuarantin di rumah sewa kami di Setia Alam.
"Bagaimanapun, keadaan suami saya bertambah teruk dan dimasukkan ke HSB pada 7 Ogos lalu," katanya.
Katanya, lebih menyedihkan apabila pemergian suaminya itu berlaku sebelum ulang tahun perkahwinan mereka pada 26 Ogos lalu.
"Saya selalu berdoa supaya arwah dapat bangun semula pada 26 Ogos, malah berharap arwah dapat bertemu dengan anak kami, tetapi apalah daya kerana ALLAH SWT lebih menyayanginya," katanya.
Menurut Rabiatul Izzati, dia reda dengan ketentuan Ilahi tetapi masih sedih dan buntu mengenangkan nasib tiga anaknya yang masih kecil.
"Sekarang saya menetap sementara di rumah ibu bapa bagi mengubat kesedihan," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar yang turut berkesempatan mengunjungi keluarga itu bersimpati dengan nasib dialami Rabiatul Izzati.
"Hari ini (Jumaat) saya datang ke rumah keluarga ini bagi menyalurkan bantuan daripada Perkeso.
"Saya difahamkan isteri arwah dan anaknya layak mendapat faedah Perkeso di bawah pencen penakat serta layak mendapat pencen bulanan, selain faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000," katanya.