PPV Mega Stadium Hang Jebat lengang

Iklan
Keadaan sunyi di PPV Mega Stadium Hang Jebat biarpun kerajaan negeri membenarkan walk-in kepada individu 18 tahun ke atas sama ada warganegara atau bukan warganegara.

MELAKA - Suasana di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Stadium Hang Jebat lengang biarpun kerajaan negeri telah membenarkan orang awam untuk 'walk in' ke PPV itu bagi mendapatkan suntikan vaksin bermula Sabtu.

Tinjauan sehingga jam 12 tengah hari mendapati, kira-kira 90 rakyat tempatan dan warga asing hadir ke PPV itu yang merupakan salah satu PPV beroperasi bagi memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan vaksin secara terus.

Iklan
Iklan

Pengarah Klinikal Klinik Keluarga One Medic yang bertugas di PPV Mega Stadium Hang Jebat, Dr Nooraishah Alias berkata, pada minggu kedua selepas PPV mega berkenaan beroperasi, kehadiran orang ramai semakin berkurangan dengan merekodkan hanya 400 individu yang hadir berbanding kuota yang dibenarkan sehari adalah sehingga 5,000 orang.

Menurutnya, orang ramai yang belum divaksin disaran mendapatkan vaksin Covid-19 dengan hadir ke lokasi itu memandangkan kemungkinan PPV mega di negeri ini akan beroperasi dalam tempoh empat minggu sahaja lagi

Iklan

"Sebenarnya, pelbagai cara telah kami dilakukan termasuk menghubungi individu serta syarikat yang mempunyai pekerja belum divaksin, namun inisiatif itu tidak menunjukkan perubahan ketara.

"Jika ada yang tidak boleh menulis atau membaca, jangan bimbang kerana kita ada petugas serta sukarelawan yang akan membantu mereka bermula dari pendaftaran hingga selesai menerima vaksin," katanya ketika ditemui di PPV mega itu.

Suasana di luar PPV Mega Stadium Hang Jebat lengang berbanding hari pertama PPV itu beroperasi pada 30 Ogos lalu.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, apa yang diharapkan agar hampir 70,000 individu berusia 18 tahun ke atas di negeri ini yang masih belum menerima vaksin datang segera dan mengambil peluang untuk mendapatkan vaksin secara percuma.

"Bagi pekerja asing atau pendatang asing tanpa izin (PATI) juga kita akan terima dan memberikan suntikan vaksin untuk membantu negeri ini mencapai imuniti berkelompok dan meningkatkan kadar vaksinasi di Melaka," katanya.

Seorang penerima vaksin, K Sugumari, 43, dari Durian Tunggal berkata, dia hadir ke PPV berkenaan secara sukarela memandangkan namanya tidak dipanggil dalam janji temu MySejahtera.

Menurutnya, biarpun pernah dimomokkan terpaksa beratur dan menunggu lama, namun kerana sayangkan keluarga dan diri, dia tidak teragak-agak untuk mengambil vaksin di PPV mega itu.

"Proses mengambil vaksin sangat mudah dan berjalan lancar, malah saya tidak perlu menunggu lama dalam 10 minit semuanya selesai, tak ada pun saya beratur panjang dan menunggu lama," katanya.