KOTA BHARU - Pentadbir masjid diingatkan supaya tidak memberikan layanan istimewa kepada mana-mana individu berstatus orang kenamaan (VIP) yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat sebagaimana tular sebuah rakaman video di laman sosial pada Jumaat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, layanan sama rata perlu diberikan dan tidak hanya tertumpu kepada golongan 'kayangan' sahaja untuk menunaikan solat.
"Apa yang tular itu kita sedang kenal pasti punca sebenar berlakunya perkara tersebut.
"Pihak Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad sendiri telah meminta pihak masjid berkenaan memberikan penjelasan berhubung insiden tersebut dan akan diselesaikan dengan segera," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Masjid Putra jelas dakwaan layanan dua darjat
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Musaadah Yayasan dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)-Bank Islam kepada pengayuh beca di Dataran Muhammadi pada Sabtu.
Pada program tersebut, seramai 25 orang pengayuh beca yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini menerima sumbangan wang tunai dan bakul makanan.
Sebelum ini, tular di media sosial video yang memaparkan hanya individu yang mempunyai pangkat dan kabel dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat dipercayai di sebuah masjid di Putrajaya pada Jumaat.
Rakaman video berdurasi kira-kira satu minit itu menunjukkan sekumpulan jemaah dilihat dilarang memasuki masjid manakala ada golongan dipercayai VIP dibenarkan masuk.
Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, pentadbiran agama di negara ini sebenarnya memberi layanan sama rata kepada semua tanpa mengira status individu tersebut.
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu berkata, beliau sendiri perlu beratur jika mahu menunaikan solat di Putrajaya.
Katanya, apa yang penting para jemaah perlu datang awal ke masjid bagi mengelakkan insiden itu berulang pada masa akan datang.
"Nasihat saya, pihak masjid perlu ada budi bicara dan tidak hanya melayan kumpulan tertentu sahaja untuk menunaikan solat.
"Kerajaan memandang serius isu ini dan akan memperbaharui prosedur operasi standard (SOP) ketetapan jemaah mengikut kepada kesesuaian semasa," katanya.