KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan yang meninggal dunia pada Sabtu.
Menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarga arwah sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
"Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara.
"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan bersama para solihin," menurut kenyataan Istana Negara yang dimuat naik di Facebook.
Zaman Khan, 80, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Jantung Negara, di sini pada jam 10.15 pagi dan dijadual dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Allahyarham antaranya pernah memegang jawatan Pengarah JSJ Bukit Aman sekitar 1993 dan pernah mengendalikan kes berprofil tinggi termasuk kes Botak Chin (Wong Swee Chin) dan P Kalimuthu atau Bentong Kali, selain pernah menjadi pegawai kanan polis yang mengetuai usaha mencari dan menyelamat mangsa dalam tragedi Kondominium Highland Towers yang runtuh pada 1993.
Zaman Khan juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Selangor dari 1975 hingga 1978 dan menamatkan perkhidmatan dalam pasukan beruniform sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penjara pada 1997. - Bernama