'Kami dah tak mampu tanggung'

Iklan
Azrina menunjukkan keadaan skuter elektrik miliknya yang telah lama tidak digunakan disebabkan larangan operasi sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini.

IPOH -"Kami tidak mampu bertahan kerana sudah terlalu banyak menanggung kerugian," Demikian luahan 17 peniaga makanan dan pengusaha barangan mainan rekreasi di Bulatan Sultan Azlan Shah yang dahulu dikenali sebagai Bulatan Amanjaya kesan daripada pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

Peniaga terlibat mengakui sudah cuba untuk bertahan, namun kerugian yang ditanggung selepas lebih enam bulan tidak beroperasi menyebabkan mereka menggesa agar diberi kebenaran untuk beroperasi kembali.

Wakil peniaga, Azrina Abdul Kadir, 38 berkata, sepanjang penutupan operasi, peniaga masih perlu menjelaskan sewa premis pada kadar RM1,000 sebulan.

Iklan

Menurutnya, tidak cukup dengan keadaan itu, barangan dan peralatan mainan banyak yang rosak dan perlu diganti kerana terbiar begitu lama.

"Kerugian yang kami tanggung kerana tidak dapat beroperasi ini sudah mencecah hampir RM40,000. Sudah pasti kesan lebih teruk akan dialami sekiranya keadaan ini terus berlarutan.

Iklan

Sebahagian barangan mainan rekreasi milik Azrina yang telah lama tidak digunakan disebabkan larangan operasi sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini.

"Kami ada tanya kepada kerajaan negeri dan dimaklumkan sektor sukan dan rekreasi boleh dibuka tetapi untuk permainan seperti ini belum dapat dipastikan, jadi kami sedang menunggu ketetapan dan kebenaran lanjut daripada kerajaan.

"Tambahan pula sekarang ini banyak sektor ekonomi yang sudah kembali dibuka, jadi apa salahnya wujudkan prosedur operasi standard (SOP) untuk aktiviti seperti ini supaya kami juga dapat beroperasi kembali," katanya pada sidang akhbar di sini pada Sabtu.

Selain peniaga makanan dan buah-buahan, mereka yang terlibat adalah pengusaha yang menyediakan perkhidmatan permainan seperti kereta api berlampu, sewaan basikal, kereta dan skuter eletrik, papan roda dan kasut roda.

Azrina berkata, pernah berlaku pemilik premis membuat laporan polis kerana ada peniaga tidak membayar sewa selama empat bulan.

Katanya, keadaan itu bukan disengajakan kerana majoriti peniaga dan pengusaha menjadikan perniagaan di situ sebagai punca pendapatan utama keluarga.

"Kami bukannya saja-saja berniaga di situ, kami semua peniaga berlesen dan sepanjang tempoh pandemik ini, kami ibarat seperti penganggur, hanya mengharapkan wang simpanan sahaja untuk menanggung keluarga," katanya.

Bulatan Sultan Azlan Shah yang terletak di Meru Raya telah dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan merupakan lokasi tumpuan bagi aktiviti riadah bersama keluarga terutama pada waktu malam.