GEORGETOWN - Kementerian Kesihatan (KKM) telah meluluskan pembukaan unit rawatan rapi (ICU) hospital medan di Hospital Pulau Pinang bagi menampung jumlah pesakit Covid-19 di negeri ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, lebih 100 buah katil tambahan dengan kemudahan oksigen akan dibekalkan di hospital itu bagi menampung pesakit yang akan ditempatkan di situ nanti.
Menurutnya, hospital yang akan dilaksanakan di hadapan blok A HPP itu dijangka akan beroperasi dalam tempoh seminggu lagi.
"Pegawai KKM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melawat ke tapak yang dicadangkan dan sehubungan itu, kementerian telah meluluskan pembukaan hospital medan di sini.
"Kita telah bersetuju secara prinsip dan apabila lampu hijau diberikan esok, ICU hospital medan dapat mula beroperasi dalam tempoh seminggu lagi," katanya selepas melawat lokasi ICU hospital medan di HPP di sini pada Sabtu.
Khairy diiringi Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan beberapa pemimpin kerajaan negeri dalam tinjauan lokasi tersebut.
Hospital medan di HPP merupakan hospital lapangan yang kedua di negeri ini selepas ia dibuka di Hospital Kepala Batas pada Mei lalu.
Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, pihak kementerian juga akan berbincang dengan hospital swasta di negeri ini berhubung cadangan untuk menyewa dewan bedah.
Katanya, cadangan itu dibuat selepas kementerian mendapati Pulau Pinang mempunyai keperluan mendesak berhubung pembedahan yang perlu dijalankan segera.
"Kita ada keperluan mendesak berkenaan kes pembedahan yang perlu dibuat segera manakala beberapa dewan pembedahan di HPP telah diubah suai untuk pesakit Covid.
"Selain itu, hospital swasta didapati enggan menerima kes-kes berisiko tinggi, namun pakar bedah dari HPP sanggup melaksanakan pembedahan di ruang bedah hospital swasta.
"Jadi saya akan adakan rundingan segera dengan pihak hospital swasta untuk membenarkan kita menyewa dewan pembedahan mereka dan pakar di HPP juga sanggup untuk menjalankan pembedahan segera di hospital swasta," katanya.
Dalam pada itu, seramai 200 petugas barisan hadapan dari negeri lain akan digerakkan ke Pulau Pinang bagi menampung jumlah petugas kesihatan di negeri ini.
"Mereka terdiri daripada kakitangan perubatan, jururawat dan sebagainya untuk membantu Pulau Pinang.
"Tindakan itu dibuat susulan kementerian mendapati berlaku kekurangan tenaga jururawat di Pulau Pinang," katanya.
Sementara itu, beliau turut memberitahu bahawa Pejabat Perwakilan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia telah mengumumkan penamatan wabak polio di negara ini menerusi perutusan rasmi pada Sabtu.
"Pengumuman ini telah dilaksanakan selepas mereka menilai langkah-langkah pencegahan yang diambil oleh Malaysia dalam menangani wabak polio.
"Sebelum ini pada 2019 beberapa kes membabitkan polio dikesan di Sabah dan kita telah ambil langkah pencegahan untuk pastikan wabak ini dapat dikawal," katanya.