IMPIAN Kelantan FC meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri tidak kesampaian apabila tumpas 0-3 kepada Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada Sabtu.
Kelantan FC terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan pembukaan JDT II menerusi tandukan kencang ketua pasukan, Mohamad Fadhli Mohd Shas pada minit ke-11.
Gawang gol tuan rumah terus dibocori oleh JDT II menerusi rembatan jarak dekat Fernando Rodrigues pada minit ke-13.
Penjaga gol JDT II, Shaheeswaran Thavakumar menjadi wira pasukannya apabila menafikan rembatan kencang Natanael Ringo pada minit ke-21 untuk mengecewakan The Red Warriors (TRW).
Pelawat terus bernafsu untuk menambah jaringan, namun rembatan dari luar kotak penalti Rodrigues pada minit ke-29 terus ke dakapan penjaga gawang Kelantan FC, Mohamad Faridzuean Kamarudin.
Keputusan 0-2 berpihak kepada JDT II kekal hingga tamat babak pertama sekali gus menyaksikan pemain TRW melangkah 'sugul' ke bilik persalinan.
Pada babak kedua, TRW tampil dengan corak sedikit berbeza dan hampir mendapat jaringan pertama menerusi tandukan Natanael Ringo tetapi gagal menepati sasaran.
Bagaimanapun, TRW dihukum dengan jaringan ketiga pelawat pada minit ke-56 menerusi rembatan jarak dekat Kei Hirose.
Pelawat wajar menyalahkan diri sendiri selepas itu apabila deretan peluang terhidang yang dimiliki gagal dimanfaatkan menyaksikan keputusan 3-0 itu kekal hingga tamat perlawanan.