ECERDC, Matrade manfaatkan CAEXPO pacu akses pasaran China

Iklan

KUALA LUMPUR - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) kini menjalin kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bagi menggalakkan usahawan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) mendapat akses pasaran China menerusi platform Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-18.

Dalam kenyataan pada Sabtu, ECERDC berkata, 12 syarikat dari wilayah ECER akan menyertai ekspo CAEXPO tersebut secara maya pada 10-13 September 2021 yang mengetengahkan produk termasuk keropok ikan, sos masakan, biskut, kopi segera dan rempah campuran.

Iklan
Iklan

"Sejak 2015, sebanyak 38 syarikat telah menyertai pameran itu dengan tiga syarikat berjaya mengeksport produk bernilai lebih RM600,000.”

Format pameran secara maya itu menyamai patform e-dagang dalam talian yang mana selain dapat melihat produk terbabit, kalangan pembeli dari China dan negara lain juga boleh melihat profil syarikat yang menyertainya.

Iklan

Pembeli yang berminat juga dapat menghubungi usahawan itu menerusi kemudahan ‘chat room’ atau ruang sembang.

Pada masa sama, ECERDC turut memudahkan penghantaran sampel produk usahawan terbabit ke Pussat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Naning di Guangxi, China, yang melibatkan pameran fizikal atau di lapangan.

Iklan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, platform CAEXPO secara maya itu membolehkan syarikat-syarikat Malaysia terus mendapat akses pasaran China yang luas walaupun dalam keadaan sekatan perjalanan (akibat pandemik Covid-19).

Beliau berkata, ECERDC juga telah memanfaatkan kerjasama Taman Industri Berkembar Malaysia-China yang merangkumi Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan Taman Industri Qinzhou China-Malaysia (CMQIP) untuk menggalakkan pelaburan dua hala selain kemudahan janji niaga.

"Setakat ini, MCKIP berjaya menarik pelaburan komited bernilai RM20 bilion. ECERDC bersama-sama kerajaan negeri Pahang dan MCKIP Sdn Bhd turut menyasarkan untuk menarik pelaburan tambahan RM10 bilion menjelang 2025.

"Bagi mencapai sasaran kami, ECERDC akan terus meningkatkan infrastruktur dan meningkatkan pelaburan ke dalam MCKIP,” katanya.

Baidzawi berkata, usaha kerajaan melanjutkan insentif khas bagi pelabur ECER hingga 31 Dis, 2022, turut memberi manfaat tambahan untuk mereka melabur dalam sektor-sektor utama seperti petrokimia, biopolimer dan industri pengeluaran am.

CAEXPO yang merupakan antara pameran perdagangan antarabangsa terbesar di rantau ini, dianjurkan setiap tahun sejak 2004 dalam usaha mempermudah akses perusahaan kecil dan sederhana ke pasaran China dan ASEAN. - Bernama