REKOD tanpa kalah Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini lebur pada perlawanan keempat liga apabila dibelasah 3-0 Crystal Palace di Stadium Selhurst Park.
Kubu anak buah Nuno Espirito Santo yang bertandang ke laman The Eagles mula dirobek pada babak kedua apabila pemain pertahanan The Lilywhites, Japhet Tanganga diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-58.
Skuad kendalian Patrick Vieira ternyata memanfaatkan peluang tersebut apabila tonggak sensasi tuan rumah Wilfred Zaha meledak gol pembukaan pada minit ke-75.
The Lilywhites yang goyang terus diasak The Eagles apabila menambah dua lagi gol menerusi Odsonne Edouard pada minit ke-84 dan 92 untuk kemenangan pertama Crystal Palace musim ini.
Keputusan tersebut menyaksikan Tottenham Hotspur mengumpul sembilan mata manakala Crystal Palace mengutip lima mata selepas masing-masing mengharungi empat perlawanan.