PH bersetuju tawaran transformasi PM namun bersyarat

Iklan

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) bersetuju dengan tawaran tranformasi yang dikemukakan oleh kerajaan namun tertakluk kepada perincian penambahbaikan draf yang perlu diperhalusi wakil kedua-dua pihak.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama kerajaan untuk membincangkan sebuah memorandum persefahaman.

Iklan
Iklan

Katanya, PH telah memberi pandangan dan cadangan tambahan kepada tujuh reformasi yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sesi pertemuan tersebut.

"Secara dasarnya, PH cenderung untuk mempersetujui memorandum persefahaman ini demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat, tertakluk kepada perincian penambahbaikan draf yang perlu diperhalusi wakil kedua-dua pihak sebelum boleh dimuktamadkan.

Iklan

"Marilah kita menggembleng seluruh kekuatan untuk menangani pandemik Covid-19 dan mengatasi kemelesetan ekonomi yang melanda negara kita,” kata kenyataan itu pada Sabtu.

Ujar kenyataan itu, pertemuan tersebut membincangkan sejumlah perkara dasar dan program khusus di mana penekanan juga diberikan kepada keperluan menjalankan reformasi dalam bidang ekonomi dan kesihatan awam bagi menangani wabak tersebut.

Iklan

"Selain itu, isu urusan perjalanan Parlimen, soal pengabsahan, dan perkara berkaitan penambahbaikan tatakelola kerajaan turut dibincangkan,” katanya.

Dalam pada itu, PH berpendirian bahawa suntikan fiskal tambahan sebanyak RM45 billion perlu dibuat kepada dana Covid-19 yang kini hanya berbaki RM8.6 billion.

Menurutnya, tindakan tersebut perlu dilakukan untuk menangani Covid-19 dan memberikan bantuan kewangan kepada rakyat.

"Di samping itu perlunya ada pengecualian bayaran faedah ke atas moratorium pinjaman bank untuk golongan B40 dan M40.

"Majlis Presiden turut membincangkan langkah-langkah reformasi politik yang perlu disertakan di dalam memorandum tersebut, seperti memperkasakan pelaksanaan Undi 18 sekarang, reformasi Parlimen dan kebebasan institusi kehakiman, antara lain.

"Wakil-wakil turut telah membincangkan isu undi percaya serta mekanisme pemantauan pelaksanaan memorandum persefahaman ini,” katanya.