Gelombang rakyat perangi rasuah

Iklan
Hussamuddin (tengah) bersama-sama Pasukan Rasuah Busters semasa pelancaran gerakan Politik #MalaysiaTanpaRasuah pada Sabtu di Shah Alam.

SHAH ALAM - Gerakan Politik #Malaysia TanpaRasuah yang dilancarkan secara besar-besaran pada Sabtu berjaya mencetuskan satu gelombang baharu dalam kalangan rakyat Malaysia dalam memerangi gejala rasuah.

Pelancaran kempen itu mendapat sokongan luar biasa dengan lebih 400 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersatu hati bersama Pasukan Rasuah Busters.

Iklan
Iklan

Selain itu, tujuh panel pelbagai latar belakang tampil di atas satu pentas bagi membentangkan enam tuntutan utama yang perlu dilaksanakan kerajaan dan pemimpin politik bagi memerangi korupsi serta penyelewengan.

Kebangkitan rakyat yang ingin bersama-sama dalam gerakan itu dapat dilihat menerusi sokongan yang diberikan melalui platform dalam talian apabila hampir 20,000 tontonan secara langsung.

Iklan

Sementara itu, lebih daripada 200 orang pula menyertainya menerusi aplikasi Zoom bagi bersama-sama menggesa gejala rasuah ditangani dan dihentikan oleh ahli politik terlebih dahulu.

Tidak ketinggalan gerakan Politik #MalaysiaTanpaRasuah turut mendapat sokongan daripada pelbagai rakan media yang melakukan satu sinergi bersama.

Iklan

Antara yang bersama Sinar Harian ialah Saluran Berita Paling Dipercayai, Astro Awani yang membuat siaran secara langsung menerusi saluran 501 dan semua platform media sosialnya.

Turut menyokong gerakan massa itu ialah Bernama, Rancangan Televisyen Malaysia (RTM), Sin Chew Daily, The Star dan TV Al-Hijrah.

Peserta yang mengikuti program menerusi Zoom dan sosial media turut memberi pelbagai kata semangat serta menzahirkan harapan yang tinggi agar Malaysia bebas daripada rasuah politik.

Lebih 200 peserta mengikuti siaran secara maya menerusi aplikasi Zoom.

Antara yang memberikan pendapat ialah Mustapa Kamal M Razali menyatakan bahawa parti politik harus mengemukakan calon-calon yang berintegriti tinggi dan bertanggungjawab untuk dipilih oleh pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

Selain itu, Sutama Gan berpendapat, generasi muda harus melibatkan diri dalam politik dan menegakkan etika tanpa rasuah.

"Negara kita sudah penuh dengan ‘katak-katak’ dan mereka yang menipu serta menderhaka pengundi mereka. Apa yang mereka pentingkan cuma jawatan dan materialisme.

"Marilah lawan habis-habisan penipu, pencuri dan pengkhianat bangsa Malaysia,” luah Sutama di Facebook Sinar Harian.

Kekayaan luar biasaDi aplikasi Zoom pula, peserta Rosdi Amir mengucapkan tahniah kepada Pasukan Rasuah Busters di atas pelancaran gerakan Politik #MalaysiaTanpaRasuah.

"Tahniah. Usaha yang perlu disokong dan didukung oleh seluruh rakyat Malaysia. Bersama kita mantapkan matlamat, bulatkan tekad dan semarakkan usaha untuk menjadikan Malaysia Bebas Rasuah,” kata Rosdi.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Adeline Chong berkata, rakyat harus mempunyai kesedaran untuk menolak rasuah wang terutamanya sewaktu musim pilihan raya.

"Beritahu rakyat Malaysia jangan ambil wang untuk jual undi mereka semasa pilihan raya. Undilah orang yang berintegriti dan bukan ahli politik yang tak bermaruah serta pandai makan rasuah,” katanya.

Tidak ketinggalan seorang lagi peserta, Mohd Helmi Ibrahim Mushiran menulis diruang komen Zoom,"lltizam dan wahana, wacana dan wadah yang dipamerkan oleh Pasukan Rasuah Busters amatlah dikagumi dan disanjung tinggi.”

Sementara, peserta di Zoom, Zamani Kardi berkata, semua pemimpin politik dan penjawat awam yang dilihat luar biasa kekayaannya mesti disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis walaupun mereka sudah bersara.