MESKIPUN sudah lebih 20 tahun meninggalkan kerjayanya sebagai anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), namun pelbagai kenangan pahit dan manis masih segar dalam ingatannya.
Bohari @ Abu Bakar Razali, 62, mula berkhidmat seawal usia 22 tahun dan menyertai TLDM selama 16 tahun sebelum bersara.
Ketika bertugas, beliau hampir menjadi korban peluru semasa melakukan rondaan di kawasan terumbu.
"Kami sudah tersilap masuk ke dalam kawasan Vietnam dan ingat tiada apa-apa berlaku. Tidak sampai 15 minit, dua biji peluru datang ke arah kami. Nasib baik tidak kena.
"Dalam keadaan terkejut dan kelam kabut itu, kami pecut tak berani tunggu lagi. Tak lama selepas itu, kapal terbang mereka datang dan kami diusir dari situ.
"Kami cepat-cepat beredar kerana bimbang kena tembak. Sampai sahaja di Labuan dalam dua jam lebih perjalanan, kecoh kami kena serang oleh Vietnam,” katanya sambil memberitahu pengalaman itu sentiasa diingati hingga sekarang.
Bohari merupakan salah seorang wira negara yang disantuni dalam program jejak Wira Sinar Harian bersama penaja Vit Makanan KL Sdn Bhd.
Beliau yang ditemui di kediamannya Sabak Bernam, Selangor disalurkan bantuan sebagai tanda penghargaan di atas jasa dan pengorbanan beliau sebagai anggota tentera yang menjaga keselamatan negara.
Kenang jasa
Program Jejak Wira adalah selaras dengan sambutan Hari Kebangsaan 2021 pada 31 Ogos lalu dan Hari Malaysia yang disambut pada 16 September ini.
Bohari menerima sumbangan sebanyak RM2,000 bagi meringankan beban beliau yang kini berdepan dengan pelbagai masalah kesihatan iaitu penyakit kencing manis, asma, buah pinggang dan paru-paru kronik.
"Dengan keadaan sekarang saya memang selalu berulang alik ke Hospital Sabak. Sejak lepas pembedahan jantung tiga bypass saya selalu kena semput.
"Nak kena pakai oksigen, bukannya murah. Jadi, terpaksalah ke hospital. Waktu Covid ini, tak berani nak keluar. Hampir setahun duduk di rumah,” ujarnya.
Bohari yang kini semakin uzur terpaksa menggunakan lampin pakai buang untuk mengurangkan pergerakan.
Sementara itu, Pegawai Perubatan dari Pusat Perubatan Pakar UiTM, Dr Syakirah Azami yang turut hadir membuat pemeriksaan berkata, tahap kesihatan Bohari ketika diperiksa memuaskan.
"Beliau mempunyai beberapa masalah kesihatan dan juga pernah melalui pembedahan tetapi kesedarannya sangat tinggi dari segi pemakanan, gaya hidup sihat dan juga pengambilan ubat-ubatan.
"Setelah diperiksa saya dapati tekanan darah, tahap kencing manis dan berat badan Bohari memuaskan,” katanya.
Bagaimanapun katanya, Bohari perlu terus berfikiran positif dan mengambil ubat yang sepatutnya serta mengamalkan gaya hidup sihat.
Bantuan berterusan
Pengarah Urusan Vit Makanan, Lai Yaeh Tat menyifatkan program Jejak Wira amat bermakna bagi memperingati wira-wira yang telah berjuang demi keamanan negara.
"Terima kasih kerana memberi peluang kepada Vit’s untuk berkolaborasi dalam program ini. Kami amat berbangga kerana dapat bertemu dengan wira yang telah banyak berjasa kepada negara.
"Kita juga dapat mendidik generasi akan datang untuk tidak mudah lupa dengan segala kemudahan dan kesenangan yang dikecapi kini.
"Tanpa jasa wira negara kita tidak akan rasa segala kesenangan yang ada di Malaysia ini,” katanya.
Vit’s adalah sebuah kilang pembuatan mi segera berstatus Halal yang telah beroperasi sejak 1975 lagi.
Sepanjang tempoh 46 tahun beroperasi, Vit’s telah menjalankan pelbagai aktiviti turun padang bagi membantu masyarakat Malaysia dan merasakan aktiviti kali ini yang paling bermakna.
"Vit’s juga mendermakan sejumlah bantuan makanan kepada Persatuan Veteran.my dan Persatuan Penyayang Warga Emas Malaysia sebagai tanda terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah menyokong Vit’s dari dulu hingga kini,” kata Yaeh Tat yang merupakan generasi ke-2 legasi Vit’s.
Beliau berharap bantuan yang diberikan dapat meringankan beban wira-wira negara di waktu pandemik ini.