MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin skuad bola sepak wanita negara mampu memberi saingan dalam pusingan kelayakan Piala Asia Wanita 2022 yang dijadualkan berlangsung di Palestin pada minggu depan.
Beliau berkata, gabungan pemain berpengalaman dan barisan pelapis berkaliber dapat mempamerkan corak permainan yang lebih baik berbanding sebelum ini.
"Saya tidak tahu apakah kebolehan pasukan lawan tetapi saya kira berlandaskan pemerhatian kepada semangat, saya yakin mereka boleh beri persembahan yang baik.
"Kita ada barisan pemain muda berkaliber dan senior yang dapat membantu pasukan lebih mantap pada perlawanan itu nanti," katanya dalam sidang akhbar sempena perjumpaan bersama sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) di Stadium Indera Mulia di Ipoh pada Ahad.
Pasukan Malaysia yang diundi dalam Kumpulan H di peringkat kelayakan akan berdepan dengan Thailand pada 19 September dan tuan rumah, Palestin pada 22 September. Kedua-dua perlawanan dijadualkan berlangsung di Stadium Faisal Al-Husseini di Al-Ram di Baitulmuqaddis.
Ahmad Faizal juga mengharapkan para pemain menunjukkan tahap disiplin yang tinggi sepanjang berada di sana memandangkan rakyat negara itu mengkagumi Malaysia.
"Mereka ini ibarat duta kecil membawa nama negara ke sana. Jadi tunjukkanlah disiplin yang tinggi sama ada ketika berada dalam padang atau di luar padang.
"Pesanan saya supaya mereka menonjolkan semangat kesukanan yang tinggi dan bermain bersungguh-sungguh untuk mengharumkan nama baik negara. Saya doakan mereka berjaya," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Skuad bola sepak wanita semangat tinggi kelayakan Piala Asia di Palestin