KOTA BHARU - Anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah di Kelantan dibenarkan untuk 'dine-in' di restoran, beriadah serta melancong di dalam negeri ini bersama keluarga atau penjaga yang sudah lengkap menerima dos vaksin Covid-19 bermula Khamis.
Bagaimanapun, kebenaran itu tidak terpakai bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, perkara itu selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dikemas kini Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Terkini, MKN mengemas kini SOP PPN bertarikh pada 9 September lalu.
"Bagi Kelantan yang memasuki negeri Fasa Kedua PPN, individu lengkap vaksin dibenarkan membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk 'dine-in' di restoran, hotel dan kedai-kedai makan, beriadah serta melancong dalam negeri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau bagaimanapun berkata, kesemua mereka tetap perlu mematuhi protokol kesihatan umum, antara paling utama ialah tidak bergejala dengan bacaan suhu badan di bawah paras 37.5 darjah Celsius.
"Pemilik premis perniagaan pula mesti memaparkan notis penerimaan pelanggan yang lengkap divaksin dan tidak bergejala sahaja di pintu masuk.
"Premis juga perlu mempunyai sistem pengudaraan yang baik dan susun atur meja mengikut penjarakan satu meter,” jelas beliau.
Beliau selain itu berkata, turut dibenarkan kepada individu sudah lengkap menerima vaksin ialah aktiviti perkelahan dan perkhemahan dalam negeri serta dibolehkan membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah dengan pematuhan SOP ketat.
"Individu perlu mengemukakan Sijil Digital Vaksinasi Covid-19 ketika mendaftar di hotel dan rumah tumpangan, manakala pengusaha perlu memastikan mereka menunjukkan bukti lengkap vaksinasi tersebut,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengingatkan rakyat agar sentiasa berwaspada dan tidak terleka kerana jangkitan Covid-19 di negeri ini yang masih tinggi dengan kes positif kekal melebihi 1,000 kes.
"Polis dan agensi-agensi terlibat akan terus melakukan pemantauan ketat bagi memastikan SOP terus dipatuhi dalam usaha mengekang jangkitan Covid-19,” katanya.