PUTRAJAYA - [DIKEMASKIINI] Ketidakhadiran murid-murid tidak akan dianggap sebagai satu kesalahan disiplin sekiranya ibu bapa atau penjaga memilih untuk tidak menghantar mereka ke sekolah.
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin bagaimanapun berkata, ibu bapa atau penjaga perlu menulis surat kepada pihak sekolah bagi menjelaskan mengenai sebab ketidakhadiran tersebut.
"Tidak hadir tidak mengapa dan tidak dianggap kesalahan disiplin. Kami tidak akan menghantar surat amaran tetapi ibu bapa perlu menulis surat ke pihak sekolah untuk menjelaskannya.
"Ini akan diguna pakai untuk tempoh pembukaan sekolah hingga hujung tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar mengenai pengoperasian sekolah di sini pada Ahad.
Mohd Radzi berkata, surat ibu bapa kepada sekolah mengenai ketidakhadiran anak mereka adalah untuk tujuan rekod.
"Ini sebagai cara kita mencuba untuk membawa murid-murid ini kembali ke sekolah.
"Pada masa sama mengambil kira kerisauan ibu bapa dalam konteks menghantar anak-anak mereka ke sekolah,” jelas beliau.
Mengulas mengenai pemakaian ke sekolah, Mohd Radzi berkata, murid dibenarkan untuk memakai pakaian biasa sekiranya pakaian seragam sekolah sedia ada tidak boleh dipakai lagi.
"Kita sedar apabila kita buka sekolah, ada ibu bapa yang mungkin melihat baju anak-anak mereka sudah ketat dan zip seluar mungkin tidak boleh dinaikkan.
"Oleh demikian, murid dibenarkan memakai pakaian biasa yang sesuai, kemas serta sopan sekiranya pakaian seragam yang sedia ada tidak lagi sesuai untuk dipakai,” jelas beliau.