PUTRAJAYA - Kerajaan akan mengenal pasti kaedah bersesuaian untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh di sektor perladangan terutama sawit, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Menurutnya, pada masa ini terdapat dua kaedah jangka pendek yang dianggap sesuai iaitu memperhebat Program Rekalibrasi Tenaga Kerja atau membawa masuk tenaga buruh asing baharu.
Tegasnya, selaku menteri yang membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam hal berkaitan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang turut terkesan, beliau sekali lagi telah membangkitkan masalah itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat (10 September) lepas.
Malah, beliau akan berbincang dengan pihak berkaitan seperti wakil industri, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan mengenai kaedah penyelesaian jangka pendek yang sewajarnya.
"Saya harap dalam dua ke tiga minggu ini kita akan dapat selesaikan (masalah tenaga buruh)...kalau tidak industri sawit akan menghadapi masalah yang besar.
"Masalah ini bukannya mudah diatasi tetapi (pada masa sama) kita perlu pastikan ia dapat diselesaikan dalam tempoh itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Program Pemberian Bakul Makanan di sini, pada Ahad.
Pada majlis itu, beliau menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada 250 penerima yang merangkumi pekerja ekonomi gig dan bekas petugas media yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Sumbangan itu diberikan oleh syarikat platform e-hailing, MyCar dan Ketua Pegawai Eksekutif MyCar, Mohd Noah Maideen turut hadir pada acara berkenaan.
Mustapa mengulas laporan akhbar mengenai industri sawit yang berisiko kehilangan pendapatan sehingga RM20 bilion setahun akibat kekurangan tenaga kerja yang kritikal sejak penularan Covid-19.
Sektor perladangan sawit juga dilaporkan berdepan masalah kekurangan pekerja terutama di bahagian penuaian dengan anggaran 75,000 kekosongan jawatan belum diisi ketika ini.
Mengulas selanjutnya, Mustapa berkata, kerajaan sudah memperkenalkan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang memberi peluang kepada majikan sektor perladangan, pertanian, pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi menampung kekurangan tenaga kerja tetapi ia tidak mendapat sambutan menggalakkan.
"Pada April lepas, kerajaan sebenarnya sudah memberi kelulusan untuk buruh asing diambil kerja di ladang sawit melalui proses itu. Malangnya, ia tidak mendapat minat daripada buruh asing," katanya yang menyifatkan buruh asing sebagai antara komponen penting bagi memastikan industri sawit yang berdaya saing.
Mustapa berkata, pada masa ini, harga purata minyak sawit mentah adalah RM4,100 satu tan berbanding RM2,700 satu tan pada 2020.
Jika tidak ditangani segera, isu itu boleh menyebabkan syarikat berkaitan industri sawit seperti Felda dan FGV Holdings Bhd berdepan risiko kerugian sebanyak RM3.2 bilion setahun.
Menurutnya, kerugian Felda dan FGV juga mencecah RM1.6 bilion untuk enam bulan pertama tahun ini dan masing-masing memerlukan seramai 5,000 pekerja dan 10,000 pekerja.
"Bagi (buruh asing) yang nak memasuki Malaysia, kita faham ada prosedur operasi standard (SOP) dan tempohnya mungkin lambat sikit.
"Tetapi untuk mereka yang sudah berada di Malaysia, bagi saya, Program Rekalibrasi Tenaga Kerja ini penting dan perlu diberi keutamaan," katanya.
Mengulas kaedah penyelesaian jangka panjang, beliau berkata, ini melibatkan penggunaan mekanisasi selain menggalakkan warga tempatan menyertai sektor perladangan menerusi kenaikan gaji dan faedah bersesuaian.
Sementara itu, Mohd Noah berkata, sumbangan bakul makanan itu meliputi keperluan harian termasuk beras, minyak, susu, gula, kicap dan sos.
"Kami tampil menyantuni mereka dengan pemberian bakul makanan ini agar dapat meringankan bebanan mereka dalam menguruskan kewangan yang makin mencabar untuk diri dan keluarga,” katanya. - Bernama