Lima projek jalan, jambatan di Johor Bahru lewat siap

Iklan
Mohd Solihan (tengah) melawat tapak kerja naik taraf jalan dari Taman Kempas Utama ke Kampung Maju Jaya pada Ahad.

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri mengenal pasti terdapat lima projek pembinaan jalan dan jambatan di Johor Bahru lewat siap mengikut jadual ditetapkan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrasuktur Johor, Mohd Solihan Badri berkata, projek berkenaan mengalami kelewatan antara enam bulan hingga satu tahun.

Iklan
Iklan

"Antara projek tersebut ialah kerja naik taraf dan bina baharu jambatan Kampung Perigi Acheh, Pasir Gudang; kerja naik taraf jalan utama Gelang Patah - Ulu Choh dan kerja melebar sungai Masai di Jalan Masai Lama.

"Kekurangan tenaga kerja, bekalan bahan mentah serta masalah pengurusan antara punca kelewatan dikenal pasti selain faktor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak kerja naik taraf jalan dari Taman Kempas Utama ke Kampung Maju Jaya, di sini pada Ahad.

Iklan

Dalam pada itu, Mohd Solihan berkata, projek menaik taraf jalan dari Taman Kempas Utama ke Kampung Maju Jaya sepanjang 2.2 kilometer dengan kos pembinaan keseluruhan dianggarkan RM29.6 juta mengalami kelewatan berbanding jadual sebenar.

Katanya, projek naik taraf yang dimulakan sejak Febuari 2018 itu sepatutnya siap tahun ini mengalami kelewatan disebabkan isu jambatan yang berada di jalan tersebut.

Iklan

"Kita jangkakan projek ini siap menjelang akhir tahun ini. Antara punca kelewatan jambatan disebabkan struktur kerangkanya tidak dapat disiapkan pihak kilang kerana mereka tidak dibenarkan beroperasi sebelum ini.

"Namun difahamkan, pihak kilang sudah kembali memulakan operasi dan akan dapat membekalkan struktur jambatan dalam masa terdekat," katanya.