KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) diharap dapat memberikan peruntukan sama rata kepada atlet paralimpik selepas pencapaian cemerlang pada Sukan Paralimpik Tokyo baru-baru ini.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin berkata, ia dilihat sebagai langkah perlu terutamanya dalam menyediakan atlet ke Sukan Paralimpik Paris 2024.
"Kalau kita ada blueprint jangka masa panjang tetapi duit macam beli basikal saja, tidak dapat apa. Saya percaya peruntukan secukupnya (patut diberikan) dan pencapaian atlet kita di Tokyo sudah membuktikannya, jadi kita tidak akan rugi.
"Saya harap semua jenis sukan dalam paralimpik mendapat peruntukan secukupnya supaya kita boleh pergi segala kejohanan yang ada di dunia ini. 'Fulus' itu penting," katanya menerusi temubual di platform wacana.my pada Sabtu.
Beliau turut mengharapkan KBS meneliti semula dan memberi fokus kepada acara yang diyakini mampu menjelmakan kilauan pingat pada temasya sukan terbesar dunia itu dan tidak 'membazir' kepada sukan yang tidak memberikan hasil.
"Saya harap KBS dan MSN dapat melihat perbelanjaan bajet atlet normal dan atlet paralimpik haruslah sama. Kalau boleh, saya usulkan supaya dana hanya diberikan pada sukan yang memberikan pencapaian cemerlang kerana semuanya berdasarkan merit," ujarnya.
Pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, kontinjen Malaysia berjaya meraih tiga emas dan dua perak menerusi sukan powerlifting, badminton, boccia dan lompat jauh, sekali gus memperbaiki pencapaian edisi Rio 2016.
Emas dimenangi Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting 72kg lelaki), Cheah Liek Hou (badminton perseorangan lelaki SU5) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh lelaki T20) manakala perak disumbangkan Jong Yee Khie (powerlifting 107kg) dan Chew Wei Lun (boccia perseorangan).
Ia menjadi pencapaian terbaik kontinjen Malaysia dan mencapai sasaran tiga pingat emas walaupun barisan atlet negara berdepan gangguan persiapan ekoran pandemik Covid-19.