'Kepada Malaysia tercinta'

Iklan
Tan Sri Dr Jeffrey Cheah (kiri) pada program Teach for Malaysia Week.

DEMI memperingati Hari Kemerdekaan yang ke-64, dituruti dengan Hari Malaysia yang ke-58 pada 16 September, saya sebagai rakyat Malaysia berketurunan Cina generasi ketiga yang dibesarkan di Pusing, Perak, dan seorang usahawan yang amat bersyukur dengan pelbagai rezeki yang dikurniakan daripada tanah air ini ingin berkongsi pandangan dalam usaha membina masa depan yang lebih progresif, inklusif dan berkesinambungan bagi Malaysia yang kita sayangi.

Secara khususnya saya menyeru agar semua bukan sahaja meraikan bahkan menyelami erti hari yang bersejarah ini. Ini adalah kerana lebih daripada 18,000 nyawa rakyat Malaysia telah terkorban akibat Covid-19, lebih daripada 1.8 juta buah keluarga dijangkiti, dan berjuta-juta lagi terjejas dalam kehidupan mereka. Tidak dilupakan juga peningkatan bilangan rakyat Malaysia yang meragut nyawa mereka sendiri disebabkan oleh wabak ini; sekolah ditutup; pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, pemakaian penutup muka dan penjarakan fizikal yang kini menjadi norma baharu. Kita juga melalui krisis politik di mana Malaysia menyaksikan pelantikan tiga Perdana Menteri dalam jangka masa tiga tahun.

Iklan
Iklan

Pada pandangan saya, kita perlu menentukan bagaimana untuk mengatasi cabaran dan mencari peluang bagi meneliti di mana kedudukan kita sekarang sebagai sebuah negara, ke mana hala yang ingin kita tuju, dan bagaimana untuk mencapainya. Pendek kata, perbincangan nasional secara berhemah dan saling menghormati perlu dilakukan bersama oleh kita rakyat Malaysia.

Perbincangan Nasional

Iklan

Mari kita mulakan perbincangan dengan mengenal pasti bagaimana kita dapat membasmi virus perkauman dalam masyarakat kita. Kita harus mengiktiraf bahawa kepelbagaian bangsa, etnik, budaya, agama termasuklah perbezaan cara masakan di Malaysia adalah kekuatan yang harus kita manfaatkan, bukan penghalang yang memecah belahkan kita. Sebaiknya kita harus menolak unsur- unsur yang berbaur perkauman yang menjejaskan keharmonian kita semua.

Di sebalik kemelut ini, sesuatu yang memberikan saya sinar harapan ialah apabila saya menyaksikan bagaimana rakyat Malaysia bangkit melangkaui garis bangsa dan agama demi membantu bukan sahaja jiran tetangga mereka, malah sesiapa sahaja yang memerlukan.

Iklan

Perubahan yang positif ini banyak diterajui oleh golongan muda pelbagai kaum yang menunjukkan bahawa generasi kini bersikap lebih terbuka dan saling menghormati.

Marilah kita menggunakan kesempatan ini untuk berbincang mengenai reformasi yang perlu kita lakukan untuk membangunkan Malaysia seperti yang kita impikan. Setelah peristiwa 13 Mei 1969, terdapat rangka tindakan pemulihan yang telah memenuhi tujuannya, namun pada pendapat peribadi saya, dasar-dasar yang dibuat dengan tujuan murni pada asalnya, sebahagiannya tersasar dalam perlaksanaanya.

Namun, semua ini kisah lalu. Dalam Zaman Digital, segalanya telah berubah. Misalnya, dalam bidang ekonomi: Bagaimana kita boleh mempromosikan ekonomi berdasarkan inovasi, kelengkapan digital, persaingan dan meritokrasi, di mana"mengetahui bagaimana" itu adalah lebih penting daripada"mengetahui siapa"?

Seterusnya, bidang pendidikan. Sudah jelas bahawa sistem pendidikan masa kini amat mengecewakan. Kita perlu segera mengkaji semula sistem pengajaran dan pembelajaran di Malaysia, agar anak-anak kita dapat menghadapi persaingan bukan sahaja daripada rakan sekelas, bahkan dari serata dunia. Sekiranya mereka tidak bersedia menghadapi dunia global, mereka dan negara kita akan terus ketinggalan.

Selanjutnya, tentang tadbir urus, usaha pemulihan aspek integriti dalam kalangan institusi negara kita sangatlah penting. Saya bukanlah hendak membebel seperti pakcik tua yang sering memuji zaman dahulu. Tetapi hakikatnya pada suatu ketika dahulu Malaysia dipandang tinggi di peringkat antarabangsa kerana mempunyai badan kehakiman yang terkenal dengan kebebasan dan integriti, kecekapan perkhidmatan awam, penyediaan perkhidmatan kesihatan awam dan sebuah Parlimen yang sentiasa memainkan peranannya secara semak dan imbang terhadap badan Eksekutif.

Tentang isu rasuah pula, tidak perlulah saya ulas dengan lebih panjang. Kita perlu membanteras rasuah secara serius demi mengatasi segala masalah yang disebabkan olehnya. Saya tidaklah terlalu naif sehingga beranggapan yang kita mampu membanteras rasuah sepenuhnya. Tiada negara yang benar-benar bebas daripada rasuah. Tetapi sekurang-kurangnya kita mesti terus berusaha memerangi amalan rasuah daripada terus merebak seperti barah dalam kalangan masyarakat.

Rasuah melibatkan dua pihak iaitu yang memberi dan yang menerima. Usaha memerangi isu ini bukan sahaja memerlukan pelaksanaan undang-undang yang kukuh tanpa rasa takut atau pilih kasih, malah perubahan dari segi pemikiran dan budaya dalam kalangan kita semua.

Bersekutu Bertambah Mutu

Kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dengan harapan dan cita-cita yang tinggi. Kita mengalami tragedi 13 Mei sebelum Malaysia mencapai kematangan. Tetapi itu berlaku lima dekad yang lalu. Kini negara kita sudah melewati usia pertengahannya di mana pengalaman dan kebijaksanaan yang diperolehi menjadi panduan kita.

Saya percaya bahawa kita semua sebagai individu mesti mempunyai tujuan hidup yang lebih bermakna. Bagi saya, tujuan yang lebih bermakna adalah komitmen untuk membangunkan negara dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Sebagai seorang yang optimis, saya percaya bahawa tujuan yang amat bermakna ini juga dikongsi oleh anda semua. Bersama-sama, kita dapat mengatasi cabaran yang kita hadapi untuk membina sebuah Malaysia yang boleh dibanggakan oleh generasi yang akan datang. Lupakan perbezaan kita untuk mencapai kejayaan yang lebih hebat.

Tujuan saya bukanlah untuk mempersoalkan mana-mana peruntukan dalam perlembagaan terutama mengenai tanggungjawab dan kewajiban sebagai warganegara, tetapi kita mestilah sentiasa berpandukan prinsip-prinsip Rukun Negara yang mewakili jiwa bangsa kita.

Seperti yang tertulis pada slogan Jata Negara: Bersekutu Bertambah Mutu."We are all in this together”.

* Tan Sri Dato’ Seri Dr. Jeffrey Cheah AO Warganegara Malaysia yang prihatin

Petikan