SHAH ALAM - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sedia memberikan kerjasama kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung pembukaan semula sekolah secara berperingkat bermula 3 Oktober nanti.
Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 19, Datuk Azizi Abd Hamid berkata, keputusan yang diumumkan pada Ahad adalah satu tindakan wajar serta mengikut suara majoriti PIBG.
"PIBG memang menyokong penuh kerana inilah suara yang dibawa oleh kebanyakan kami. Bukan sahaja sekolah saya, malah perkara sama dibawakan seluruh YDP PIBG negara ini.
"KPM mengambil pandangan semua dan saya rasa ini sejarah terbaik bagi kementerian itu sejak penubuhannya. Belum lagi penglibatan sebegini yang dilakukan kerana sebelum membuat keputusan, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin turun padang untuk mendengar pandangan semua pihak,” katanya pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: Sekolah akan dibuka dengan sistem penggiliran bermula 3 Oktober
Azizi bagaimanapun berharap agar sistem penggiliran yang digunakan KPM nanti perlulah secara holistik dan tidak membebankan guru.
Sementara itu, beliau mencadangkan agar guru yang mengajar murid di kelas melakukan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menerusi siaran langsung.
Kata Azizi lagi, pembentangan prosedur operasi standard (SOP) juga perlu ditambah baik agar tidak berlaku kekeliruan.
Katanya, antara SOP itu ialah berkaitan kit ujian pantas (RTK) bagi pelajar di sekolah.
"Macam mana dengan kos dan siapa akan sediakan? Ia perlu diperjelaskan.