KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tiba di Bangunan Parlimen pagi ini bagi Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14.
Keberangkatan tiba Seri Paduka pada jam 10 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.
Serentak dengan ketibaan Al-Sultan Abdullah, lagu 'Negaraku' dimainkan sebelum Seri Paduka berangkat ke Bilik Rehat Diraja.
Seri Paduka kemudian akan menyampaikan Titah Diraja.
Menurut takwim di laman rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 17 hari dan berakhir pada 12 Oktober, manakala Dewan Negara menyambung persidangan dari 4 hingga 26 Oktober depan.
Persidangan kali ini dijangka akan menumpukan kepada isu pemulihan negara susulan pandemik Covid-19 dan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) selain usaha transformasi Parlimen.
Persidangan Parlimen ditangguhkan sejak awal tahun ini ekoran pandemik Covid-19 yang turut menyaksikan perisytiharan darurat untuk seluruh negara pada 12 Januari dan berkuat kuasa hingga 1 Ogos dalam usaha mengekang penularan wabak itu.
Bagaimanapun, ahli Parlimen bertemu pada sidang khas Dewan Rakyat, mesyuarat yang diadakan semasa Majlis dalam tangguhan pada 26 Julai lepas.
Namun, sidang khas yang sepatutnya berlangsung selama lima hari itu ditangguhkan selepas empat hari bersidang susulan perkembangan kes positif Covid-19 berlaku di Parlimen. - Bernama