JELI - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap tujuh ekor gajah liar yang 'menceroboh' kawasan kebun di Kampung Lawar di sini dalam tiga operasi berasingan pada Rabu, Khamis dan Jumaat.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, kesemua tujuh ekor gajah liar berusia antara tiga hingga 30 tahun itu dipercayai dari kumpulan sama yang ditangkap berhampiran Kampung Bukit Ipoh pada bulan lalu.
Menurutnya, lima daripada tujuh yang ditangkap itu ialah gajah jantan.
"Siasatan awal mendapati kesemua gajah liar itu dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Basor untuk mencari sumber makanan.
"Kawasan tersebut merupakan habitat asal kumpulan gajah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Ady Ermanty berkata, kerja-kerja menangkap hidupan liar itu dijalankan susulan aduan berterusan yang diterima pihaknya sejak 17 Ogos lalu berkaitan dengan kehadiran gajah tersebut.
Beliau berkata, kerja-kerja pemindahan gajah-gajah itu telah selesai dilakukan hasil kerjasama Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang dan kakitangan Perhilitan Perak dan Terengganu.
"Khidmat dua ekor gajah denak iaitu Abot dan Rambai telah digunakan bagi melancarkan operasi tersebut.
"Kesemua gajah liar ini akan dilepaskan semula ke habitat semula jadi di Taman Negara Kelantan, Terengganu dan Pahang," katanya.
Katanya, penduduk disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my