PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak teragak-agak untuk melaksanakan kawalan harga terhadap ayam dan telur.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan itu akan diambil jika harga barangan keperluan tersebut terus menunjukkan trend peningkatan di luar harga munasabah selain terdapat kartel memanipulasi di semua peringkat rantaian.
Menurutnya, buat masa ini, kementerian tidak bercadang untuk memperkenalkan kawalan harga tambahan selain yang telah dilaksanakan ketika musim perayaan besar Malaysia di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).
"Pihak KPDNHEP telah mengambil pendekatan baharu bagi menangani masalah kenaikan harga barang terutama harga ayam yang seringkali berulang.
"Pendekatan baharu ini membabitkan pengeluaran surat pemberitahuan kepada peniaga peringkat borong dan runcit untuk mengadakan libat urus bersama pengeluar dan penternak ayam di lokasi atau lokaliti berlakunya kenaikan harga," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pendekatan itu bertujuan untuk membolehkan peniaga menyemak harga barang serta kos belian bagi mendapatkan margin untung yang lebih munasabah dan memberi peringatan kepada peniaga ayam supaya tidak menaikkan harga di mana-mana peringkat rantaian pengedaran sewenang-wenangnya.
"Peniaga di semua peringkat rantaian diharap agar mengekalkan etika yang tinggi dalam menjalankan perniagaan dan membantu kerajaan agar harga ayam kekal stabil tanpa kenaikan mendadak serta berterusan.
"Sekiranya peniaga enggan memberi kerjasama dalam menjayakan pendekatan baharu ini, tindakan tegas akan diambil dengan mengeluarkan kompaun maksimum atau pendakwaan di mahkamah akan dilakukan ke atas peniaga terlibat," katanya.
Menurut beliau, KPDNHEP akan mengadakan perbincangan secara berterusan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam memastikan faktor huluan seperti harga dedak ayam yang diimport, harga baka ayam dan harga anak ayam yang mempengaruhi harga ayam di peringkat hiliran dapat diminimakan dan terurus.
"Industri dan bekalan ayam di kawal selia oleh MAFI dan KPDNHEP bersedia memainkan peranan berkaitan polisi harga ayam di pasaran.
"KPDNHEP terus melakukan pemantauan harga barangan setiap hari dan tindakan segera diambil ke atas premis yang menjual pada harga tidak munasabah," katanya.
Alexander berkata, pemantauan harga runcit pada 10 September 2021 mendapati harga purata ayam bersih standard peringkat Nasional adalah pada paras RM8.83 sekilogram.
"Harga purata ayam bersih standard adalah RM8.78 sekilogram dengan julat harga jualan adalah antara RM5.99 hingga RM11 sekilogram.
"Berdasarkan pemerhatian kementerian, premis yang menjual pada harga tinggi melebihi RM9 sekilogram terdiri daripada pasar basah dan awam. Harga paling tinggi adalah RM11 sekilogram dijual di Pasar Besar Raub, Pahang," katanya.
Pada masa sama katanya, premis pasar raya dan pasar raya besar masih menawarkan ayam bersih standard pada harga berpatutan.
"Premis yang menjual pada harga paling rendah pada RM5.99 sekilogram adalah Pasaraya Lotus seluruh negara.
"Pasaraya Giant, Pasaraya Mydin dan Econsave pula masih menawarkan ayam pada harga RM7.39 hingga RM7.99 sekilogram.
"Pengguna dinasihatkan untuk bijak dalam memilih tempat dan masa untuk membeli ayam pada harga patut," katanya.
Tambah beliau, di Sabah pula harga purata ayam bersih standard adalah pada RM11.33 sekilogram.
"Harga paling tinggi adalah RM11.80 sekilogram dijual di Gentingmas Mall, Sandakan, manakala harga paling rendah adalah RM10.90 sekilogram dijual di Pasar Basah Sibuga, Batu 8 di Sandakan.
"Berbeza di Sarawak, harga purata ayam bersih standard adalah RM8.56 sekilogram di mana harga paling tinggi adalah RM9.80 sekilogram dijual di Central Market, Sarikei, manakala harga paling rendah adalah RM7.50 sekilogram dijual di Everwin Supermarket Mukah," katanya.