Agong titah kerajaan perkemas dasar kemasukan, visa warga asing

Iklan
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, pada Isnin. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan agar memperkemaskan dasar berhubung kemasukan dan pemberian visa kepada warga asing.

Titah baginda, tindakan itu supaya penularan varian baharu Covid-19 dapat dikawal.

Iklan
Iklan

"Pada masa yang sama, kawalan sempadan negara perlu sebilang masa diketatkan bagi membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin,” titah baginda.

Baginda bertitah sedemikian semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada Isnin.

Iklan

Al-Sultan Abdullah turut menyeru rakyat agar jangan cepat terleka dan berpuas hati dengan pencapaian program vaksinasi negara ketika ini.

Titah baginda, usaha hendaklah diteruskan bagi mengekang penularan jangkitan terutamanya dengan kemunculan pelbagai varian baharu.

Iklan

"Kerajaan hendaklah terus berusaha untuk menurunkan kes jangkitan harian Covid-19 dan mencapai imuniti kelompok dengan segera.

"Menyedari hakikat tersebut, strategi ‘whole of society effort’ perlu dipergiatkan dengan naratif komunikasi yang berkesan.

"Beta mengalu-alukan usaha kerajaan dalam memperkasa Agenda Nasional Malaysia Sihat dalam mendidik Keluarga Malaysia untuk hidup bersama virus ini,” titah baginda.

Baginda bertitah, menerusi pendekatan ini, rakyat akan berasa yakin untuk menerima dan menyesuaikan diri dengan senario Covid-19 sebagai endemik yang bersifat kekal dan menjadi sebahagian daripada kehidupan.

"Dalam kita menerima Covid-19 sebagai sebahagian daripada kehidupan, seluruh rakyat hendaklah sedar akan bahayanya virus ini khususnya varian baharu dan juga kemungkinan munculnya pelbagai varian lain pada masa hadapan.

"Justeru, rakyat masih lagi perlu untuk sentiasa menjaga kesihatan diri, mengambil langkah berjaga-jaga dan kekal berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Lebih utama, rakyat hendaklah menentukan diri mereka divaksinasi,” titah baginda.