KWSP lancar dua inisiatif ringankan beban kewangan majikan

Iklan
KWSP melancarkan dua inisiatif baharu untuk majikan bagi meringankan pengurusan aliran kewangan mereka ketika tempoh pandemik sekali gus membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab statutori ke atas pekerja. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan dua inisiatif baharu untuk majikan bagi meringankan pengurusan aliran kewangan mereka ketika tempoh pandemik sekali gus membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab statutori ke atas pekerja.

KWSP dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, inisiatif-inisiatif itu adalah pengecualian caj lewat bayar caruman dan Tawaran Insentif Pengurangan Caj Lewat Bayar (e-PaR).

Iklan
Iklan

Di bawah inisiatif pertama, majikan diberi kelonggaran untuk tempoh membayar caruman bulan semasa, manakala melalui e-PaR pula, majikan berpeluang mendapatkan pengurangan menyelesaikan baki caj lewat bayar yang tertunggak.

Dana persaraan itu menambah pengecualian caj lewat bayar caruman merujuk kepada caj yang dikenakan ke atas majikan yang gagal membayar caruman wajib KWSP pada atau sebelum 15 hari bulan setiap bulan.

Iklan

"Walaupun tarikh akhir untuk membayar caruman tersebut tidak berubah, melalui inisiatif ini majikan boleh membayar caruman mereka sehingga akhir setiap bulan tanpa dikenakan caj lewat bayar," kata kenyataan itu.

Pihak majikan tidak perlu membuat sebarang permohonan untuk inisiatif ini yang akan berkuat kuasa secara automatik bermula caruman bulan September 2021 sehingga Disember 2021.

Iklan

Bagi inisiatif e-PaR pula yang akan dibuka mulai 13 September 2021 hingga 31 Disember 2021, majikan ditawarkan pengurangan sehingga 70 peratus untuk caj lewat bayar yang tertunggak bagi caruman yang lewat dibayar untuk mana-mana tempoh sebelum Ogos 2021.

"Untuk layak mendapatkan pengurangan ini, majikan perlu memastikan caruman dan dividen yang tertunggak untuk pekerja mereka bagi tempoh sebelum Ogos 2021 telah diselesaikan sebelum 31 Disember 2021,” kata KWSP.

Ia menambah pengurangan caj lewat bayar caruman ini bertujuan membantu majikan menguruskan aliran tunai mereka di samping menyediakan peluang dan insentif untuk mereka menyelesaikan sebarang baki pembayaran caruman yang tertunggak. - Bernama