SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjalinkan kerjasama dengan FGV Agro Fresh Technology Sdn Bhd (FGV Agro Fresh) melalui program PTPTN Prihatin.
Ia bagi membantu peminjam daripada golongan asnaf melalui perniagaan secara dalam talian selari dengan perubahan masa kini.
PTPTN dalam satu kenyataan berkata, FGV Agro Fresh Technology Sdn Bhd merupakan anak syarikat FGV Holdings Berhad yang mengendalikan perniagaan menjual barangan keperluan harian secara dalam talian menerusi platform jenama Gogopasar.
"Melalui kerjasama ini, para peminjam golongan asnaf akan dibantu untuk menjadi usahawan iaitu Gogoprenuer dalam memperkenal dan menjual barangan secara online di kawasan sekitar Lembah Klang melalui platform Gogopasar tersebut.
"PTPTN memberikan sumbangan wakalah zakat sebanyak RM100,000 kepada 20 peminjam PTPTN dalam kategori asnaf sebagai modal untuk memulakan perniagaan dengan kerjasama FGV Agro Fresh Technology Sdn Bhd.
"Setiap peminjam PTPTN akan menerima sumbangan sebanyak RM5,000 untuk setiap pakej Gogoprenuer merangkumi penyejuk khas (custom chiller) dua pintu, kelas latihan termasuk enam bulan pemantauan, buku pemasaran dan perniagaan, gegantung, kain rentang, pelekat kereta, topi dan baju-T,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
PTPTN berkata, peminjam yang berminat boleh memohon untuk menyertai program itu dengan membuat pendaftaran melalui kaedah yang akan dimaklumkan FGV Agro Fresh Technology Sdn Bhd kelak.
"Pengesahan status peminjam dan kategori asnaf akan dilaksanakan oleh PTPTN melalui kerjasama dengan Lembaga Zakat Negeri. Peminjam yang memenuhi kriteria akan melalui sesi temu duga untuk pemilihan 20 peminjam yang berjaya menerima sumbangan tersebut,” jelas kenyataan itu.
PTPTN juga berharap kerjasama itu akan memberikan ruang dan peluang kepada peminjam PTPTN untuk meneruskan kehidupan dengan ekonomi lebih baik ketika berdepan dengan kesukaran situasi pandemik Covid-19.
"Jalinan kerjasama ini juga dapat meluaskan sokongan komuniti kepada pembelian dalam talian melalui platform digital,” kata PTPTN.
Menerusi pautan digital dalam talian Gogopasar iaitu www.gogopasar.com, pelanggan boleh mendapatkan keperluan barangan segar seperti ayam, daging, sayur-sayuran, ikan serta barangan keperluan harian lain.
Pada 30 Ogos lalu, Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyerahkan replika cek bernilai RM100,000 kepada Ketua Pegawai Eksekutif FGV Agro Fresh Technology Sdn Bhd, Haslinda Alias sebagai simbolik penyerahan sumbangan.
Turut hadir pada majlis penyerahan itu ialah Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.