CAP kesal 3,500 hektar Hutan Simpan di Kedah diteroka secara haram

Iklan
Kawasan penanaman semula oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah di Kompartmen 4, Bukit Enggang, Sik, Kedah yang dikenal pasti telah diteroka secara haram. Gambar kecil: Mohideen Abdul Kader

ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Kedah dan Jabatan Perhutanan mengambil tindakan tegas bagi mengatasi masalah pencerobohan hutan simpan yang serius berlaku ketika ini.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, laporan media pada Ahad yang menyatakan, sejumlah 3,500 hektar Hutan Simpan di negeri ini dikesan diteroka secara haram sejak 2011 oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sangat mengecewakan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, CAP mempersoalkan bagaimana aktiviti ini boleh berlaku dalam jangka masa yang begitu lama serta melibatkan kawasan Hutan Simpan yang luas tanpa tindakan segera dan berkesan diambil oleh mana-mana pihak berkaitan.

"CAP meminta jabatan berkenaan menguatkuasakan Akta Perhutanan Negeri 1984 dengan tegas tanpa memberi sebarang pertimbangan kepada mereka yang disabitkan melakukan perbuatan itu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, pihaknya berharap siasatan turut dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengenal pasti kemungkinan terdapat unsur-unsur rasuah dalam perkara ini.

Jelasnya, CAP kesal dan bimbang dengan kejadian tersebut kerana ia bukan saja memusnahkan biodiversiti kawasan hutan yang terlibat tetapi juga boleh mencetuskan bencana alam dan menjejaskan kehidupan penduduk di negeri ini.

Iklan

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) mengenal pasti seluas 3,500 hektar kawasan hutan simpan diteroka secara haram untuk pelbagai kegiatan sejak 10 tahun lalu.

Pengarah Perhutanan Negeri Kedah, Muhamad Abdullah berkata, kebanyakan penerokaan yang dilakukan dikesan bagi tujuan sektor pertanian membabitkan sindiket selain pembinaan rumah kediaman yang membabitkan individu.

Menurutnya, kira-kira 20 individu telah ditangkap menceroboh kawasan hutan simpan membabitkan beberapa kes sejak awal tahun ini.