Tidak sewenangnya perbaharui MyKad hilang kali ketiga

Iklan
Saadon (dua, kiri) menyerahkan kad pengenalan kepada penduduk yang hadir untuk menggantikan MyKad yang hilang dalam kejadian kepala air Gunung Jerai.

YAN - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengingatkan orang ramai memastikan MyKad dalam keadaan selamat kerana kehilangan kad melebihi tiga kali tidak sewenang-wenangnya akan diperbaharui.

Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Pengurusan), Datuk Saadon Othman berkata, kehilangan dokumen itu akan dinilai oleh panel JPN bagi memastikan tiada unsur jenayah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, panel berkenaan akan melakukan siasatan untuk mengetahui punca kehilangan sebelum meluluskan permohonan baharu.

"Bagi kesalahan kecuaian, mereka boleh didenda RM1,000 setelah tiga kali hilang MyKad namun panel kita akan meneliti semua perkara untuk elak disalah guna," katanya ketika hadir meninjau program Mekar Prihatin bersama JPN di pekarangan Masjid Jamek Badlishah di Pekan Yan, di sini pada Isnin.

Iklan

Hadir sama Pegawai Daerah Yan, Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah.

Mengulas lanjut, Saadon berkata, MyKad yang hilang buat pertama kali akan didenda sebanyak RM100, diikuti RM300 bagi kesalahan kedua.

Iklan

"Selepas diperbaharui, pemilik tidak perlu risau MyKad yang hilang itu dijumpai oleh warga asing kerana kita telah kategorikan sebagai hilang dan dilupuskan.

Semakan terperinci akan dilakukan menerusi sistem yang mempunyai ciri keselamatan yang tinggi," katanya.

Dalam pada itu, Saadon berkata, menerusi inisiatif bas bergerak JPN yang berkampung di Yan selama tiga hari, penduduk berpeluang menggantikan dokumen pengenalan diri yang rosak dalam kejadian kepala air Gunung Jerai secara percuma.

"Perkhidmatan ini ditawarkan bagi memudahkan penduduk setempat menggantikan dokumen pengenalan diri yang rosak atau hilang dihanyutkan banjir.

Setakat ini, kita menerima 53 permohonan membuat Mykad, 28 sijil kelahiran dan dua sijil kematian," katanya.

Menurutnya, permohonan terbuka kepada semua penduduk di daerah itu dan permohonan disiapkan hanya 30 minit.

Bagaimanapun kata Saadon, pemilik Mykad dikehendaki datang sendiri kerana memerlukan pengesahan cap jari dan tidak perlu laporan polis atas kehilangan MyKad.

Tambah beliau, JPN turut mengesan warganegara yang tidak dapat mengunjungi pejabat JPN seperti warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) bagi menawarkan khidmat terbabit.

Pada 18 Ogos lalu, enam mangsa terkorban dalam kejadian banjir susulan tragedi kepala air dari Gunung Jerai dengan banjir lumpur yang menjejaskan 800 rumah di Yan dan 200 rumah di Kuala Muda.