80,884 orang asli sudah terima suntikan vaksin

Iklan
Pembantu Pembangunan Masyarakat Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Nurulhuda Minhat (kiri) memeriksa senarai penerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 terhadap penduduk Orang Asli di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Alamanda, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ). - Foto fail Bernama

SHAH ALAM- Seramai 80,884 orang asli di seluruh negara sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 sehingga Ahad menerusi Program Jangkauan Luar (outreach).

Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, jumlah itu membabitkan 56.1 peratus daripada 144,180 orang asli di negara ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sebanyak 128,548 dos vaksin diberikan termasuk mereka yang menerima satu dos, melengkapkan dua dos vaksin dan menerima satu dos vaksin jenis CanSino.

Beliau bagaimanapun berkata, tiga negeri mencatatkan kadar terendah vaksinasi masyarakat orang asli iaitu Terengganu, Kelantan dan Johor.

Iklan

"Tiga negeri ini dengan jumlah keseluruhan masyarakat orang asli yang belum menerima vaksin di ketiga-tiga negeri ini ialah seramai 16,127 orang.

"Bagi jumlah negeri-negeri yang rendah ini, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menggunakan vaksin jenis CanSino iaitu satu dos bagi tujuan mempercepatkan kadar vaksinasi memandangkan lokaliti masyarakat ini yang terletak di pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, penggunaan secara optimum aset-aset kerajaan seperti helikopter dan bot-bot ke kawasan-kawasan pedalaman itu diyakini mampu meningkatkan kadar vaksinasi bagi mencapai imuniti kelompok pada Oktober ini.

"Kerjasama ini adalah selari dengan konsep 'whole government, whole society' dalam memerangi pandemik Covid-19,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan akan memastikan seluruh Keluarga Malaysia terutama masyarakat orang asli dapat menjalani kehidupan seperti biasa, seterusnya memulihkan kembali ekonomi yang terjejas dan menjana pendapatan untuk sara hidup masyarakat ini.

"Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (Jakoa) sentiasa bekerjasama dengan KKM, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) bagi memastikan masyarakat orang asli diberi vaksinasi dengan segera.

"Keutamaan vaksinasi kepada orang asli ini menjadi komitmen KPLB dan Jakoa memandangkan masyarakat tersebut tinggal di pedalaman.

"Mereka juga mempunyai kesukaran perhubungan dan akses dari segi logistik untuk ke pusat-pusat vaksinasi yang disediakan kerajaan di bandar atau pekan terdekat,” jelas beliau.