JASIN - Seorang pemandu treler menyerahkan kotak berisi ganja yang dibawa bersama ketika pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) di laluan keluar Plaza Tol Lipat Kajang di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian jam 6.30 petang, suspek yang berusia 53 tahun itu bertindak demikian ketika polis menjalankan pemeriksaan ke atas treler berisi muatan cermin.
Iklan
Iklan
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN), Deputi Superintendan Mohd Akmal Abdullah berkata, suspek dari negeri ini menghala ke Klang, Selangor dipercayai ketakutan lalu menyerahkan satu kotak kecil yang diambil dari ruang rehat di belakang kerusi.
"Pemeriksaan mendapati kotak tersebut mengandungi satu ketulan tumbuhan kering dadah jenis ganja seberat 600 gram bernilai RM1,000," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, suspek dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ dan membawa dadah dianggarkan bernilai RM1,000 untuk rakannya.
Menurutnya, saringan ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia positif ganja dan hasil soal siasat suspek mempunyai empat orang anak dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Suspek direman selama tujuh hari sehingga 19 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.