Agrobank lancar program Sukuk Wakalah RM1 bilion

Iklan
Mustapha Buang

AGROBANK melancarkan program Sukuk Wakalah bernilai RM1 bilion yang berasaskan Prinsip Islam Wakalah Bi AlIstithmar pada Selasa.

Pengerusi Agrobank, Datuk Mustapha Buang berkata, pelancaran program Sukuk Wakalah RM1 bilion ini menunjukkan komitmen Agrobank terhadap pembangunan Malaysia sebagai sebuah pusat kewangan Islam serantau dan membuktikan kepentingan pasaran modal sukuk di Malaysia.

Iklan
Iklan

"Bagi bahagian pertama sukuk, Agrobank berhasrat untuk menerbitkan Sukuk Wakalah bernilai RM500 juta. Menerusi instrument inovatif ini, kami yakin ia akan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah hab kewangan Islam global sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran modal Islam antarabangsa.

"Kami berharap, tawaran ini disambut baik oleh pelabur dari pelbagai latar belakang perakaunan termasuk agensi kerajaan, institusi kewangan, syarikat pengurusan aset serta akaun korporat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Mustapha berkata, hasil penerbitan sukuk ini akan digunakan untuk pengurusan modal kerja, pelaburan umum dan membiayai kembali pembiayaan Agrobank yang patuh syariah bagi mendorong pertumbuhan bank pada era pasca pandemik.

"Fokus kami adalah untuk mewujudkan pendanaan yang stabil dengan mendapatkan kos pembiayaan jangka sederhana dan jangka panjang yang lebih rendah,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Mustapha berkata, Malaysia Rating Corporation Berhad (MARC) telah memberikan penarafan AAA institusi kewangan (FI) kepada Agrobank.

Pada masa yang sama, agensi penarafan juga telah memberikan penarafan awal AAAIS kepada Bank bagi Program Nota Jangka Sederhana Islam (Program IMTN) bernilai RM1.0 bilion serta prospek penarafan yang stabil.

Beliau berkata, RAM Sustainability Sdn Bhd (RAM Sustainability) telah memberikan penarafan Manfaat Alam Sekitar (EB) kepada program sukuk itu.

"Tiga penyelesaian rangka kerja hijau bagi Sukuk Kelestarian Agrobank iaitu pengurusan kelestarian air dan air sisa; pengurusan kelestarian alam sekitar bagi kehidupan sumber asli dan penggunaan tanah dan pemuliharaan biodiversiti daratan dan akuatik yang telah diberikan penarafan EB.

"RAM Sustainability juga telah memberikan penilaian Manfaat Sosial (SB) kepada penyelesaian sosial di bawah rangka kerja ini. Penarafan FI menggambarkan status Agrobank sebagai sebuah IKP milik kerajaan yang mendapat sokongan melalui pengagihan dana kerajaan dan skim pembiayaan pada kadar yang berpatutan serta penempatan simpanan deposit daripada entiti kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, penarafan yang baik bagi program sukuk itu menunjukkan kestabilan pengurusan serta kepentingan operasi strategik perniagaan Agrobank kepada Kerajaan Malaysia sebagai sebuah institusi perbankan yang berperanan menyokong pembangunan negara.

"Bagi bahagian pertama penerbitan sukuk, Agrobank memilih untuk menerbitkan sukuk senior normal.

"Pada masa hadapan, Agrobank turut merancang untuk menerbitkan Sukuk Kelestarian. Penasihat Utama Tunggal / Pengatur Utama Tunggal / Pengurus Utama Tunggal bagi program Sukuk ini adalah Maybank Investment Berhad,” katanya.

Agrobank pada Isnin telah mengadakan pembentangan pelaburan berkumpulan secara dalam talian bersama Maybank Investment Berhad mengenai Program Sukuk Wakalah dan sasaran penerbitan sukuk pertamanya kepada pelabur yang berpontesi dan berminat.