KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat diharapkan berjalan lancar dengan semua ahlinya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada Isnin, perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerusi ciapan di Twitter rasminya.
"Saya harap persidangan Parlimen kali ini akan terus berjalan dengan selamat dan lancar.
"Saya juga ingin mengingatkan semua Ahli Dewan agar mematuhi SOP pelaksanaan persidangan Parlimen yang ditetapkan dengan mengambil kira pandangan MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan Kementerian Kesihatan dengan teliti dan menjadi contoh baik kepada rakyat," katanya.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin yang memberitahu beliau mengikuti sidang Parlimen minggu ini dari rumah kerana menjalani kurantin kendiri setelah tersenarai sebagai kontak rapat Covid-19.
"Moga urusan persidangan berjalan lancar dan selamat dari wabak Covid-19,” katanya dalam ciapan di Twitter pada Isnin.
Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi catatan ringkas berharap institusi Parlimen terus utuh dan dijunjung sebagai antara elemen penting demokrasi berparlimen dan negara hukum.
Sementara itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menerusi akaun Facebooknya berkata, beliau akan mengangkat suara rakyat di Dewan Rakyat untuk didengari serta diberi perhatian oleh kerajaan.
Beliau berkata, Parlimen sebagai lambang struktur demokrasi negara serta cerminan aspirasi rakyat tidak sesekali boleh diperkotak-katikkan.
"Malaysia sebuah negara berdaulat dan berperlembagaan yang mengamalkan demokrasi berparlimen. Semoga Allah memudahkan segala urusan demi kepentingan rakyat dan masa depan negara tercinta,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Negara Senator Khairil Nizam Khirudin menjunjung kasih titah nasihat Seri Paduka Baginda agar semua Ahli Parlimen mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada permasalahan negara.
Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming dalam ciapan di Twitternya mengingatkan tanggungjawab Ahli Parlimen untuk menjaga integriti institusi negara.
"Parlimen adalah simbol kemerdekaan negara, institusi perundangan & tempat membawa suara rakyat," katanya.
Yang di-Pertuan Agong dalam titah ucapan pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini antara lain menasihatkan semua pihak supaya mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.
Justeru, Seri Paduka Baginda menyambut baik keterbukaan kerajaan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara. - Bernama