SHAH ALAM - Analisis data mentah tentang keberkesanan vaksin Covid-19 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada laman web GitHub perlu menggunakan metodologi dan kerangka saintifik standard serta mendapat penilaian oleh pakar.
Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga), Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, ia bagi memastikan hasil penemuan analisis data itu tepat, sekali gus menghindari spekulasi dan risiko membuat kesimpulan ‘berat sebelah’ dan memberikan impak negatif kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Beliau berkata, sebuah portal berita dalam talian baru-baru ini menerbitkan analisis yang tidak disahkan dengan mendakwa terdapat 10.11 kematian bagi setiap 100,000 penerima vaksin Sinovac, 3.47 kematian bagi setiap 100,000 penerima vaksin Pfizer dan 0.91 kematian bagi setiap 100,000 penerima vaksin AstraZeneca.
Katanya, data mentah yang dikeluarkan itu seharusnya disertakan dengan penjelasan yang lengkap oleh pihak berkuasa.
"Dalam keadaan krisis sekarang, data adalah amat penting bagi mengukur keberkesanan PICK, namun tafsiran data yang silap dan bersifat spekulasi hanya akan mengeruhkan lagi keadaan dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Zulkarnain berkata, kajian data klinikal sangat dipengaruhi faktor waktu dan situasi yang memerlukan penggunaan kaedah statistik yang kompleks bagi memastikan analisis dilakukan dengan tepat.
”Sepertimana data mesti dikumpul mengikut kaedah standard saintifik yang ditetapkan, data juga perlu dianalisa menurut kaedah standard saintifik yang betul.
"Analisis yang diterbitkan oleh portal berita itu nyata tidak memberikan gambaran yang jelas mengenai data tersebut dan tidak dinilai oleh pakar ilmiah seperti saintis dan penyelidik, sepertimana ia seharusnya dilakukan,” katanya.
Justeru, beliau meminta pihak berkuasa untuk segera memberi penjelasan yang lengkap mengenai data mentah yang dikeluarkan bagi meredakan kebimbangan orang ramai terhadap keselamatan dan keberkesanan vaksin.
"Sekiranya penjelasan lengkap ini tidak dilakukan cepat, ia boleh mengganggu misi kerajaan untuk melaksanakan program vaksinasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun tidak lama lagi,” katanya.
Pharmaniaga adalah sayap perniagaan farmaseutikal Kumpulan Boustead Holdings Bhd bersama Lembaga Tabung Angkatan Tentera yang merupakan pemegang utama saham Pharmaniaga. - Bernama