Buka sekolah bantu emosi murid: Pakar

Iklan
Pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilihat sebagai langkah persediaan untuk memastikan pelajar-pelajar dapat kembali menikmati kehidupan bersekolah.

KUALA LUMPUR - Pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilihat sebagai langkah persediaan untuk memastikan pelajar-pelajar dapat kembali menikmati kehidupan bersekolah.

Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Profesor Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata, pembukaan sesi sekolah secara berhati-hati itu mampu membantu perkembangan sosioemosi murid dalam mengadaptasi diri dengan persekitaran pendidikan sebenar.

Iklan
Iklan

"Jika terlalu lama sekolah tidak dibuka dan murid meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), ia akan memberi kesan kepada minat dan fokus mereka terhadap aktiviti pembelajaran kerana kaedah PdPR ini terhad.

Murid sebenarnya perlu melalui empat proses pembelajaran iaitu mencerap maklumat, menyimpan, mencanai dan seterusnya mengeluarkan maklumat, yang mana ianya lebih efektif apabila dilaksanakan secara bersemuka sekali gus memastikan pendidikan murid tidak terbantut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Iklan

Katanya, sekolah merupakan tempat terbaik untuk murid mendapatkan pendidikan sempurna kerana di situ terdapat fasiliti yang lengkap, kurikulum yang baik serta kepakaran iaitu guru yang dapat membantu murid meningkatkan perkembangan emosi, mental dan fizikal, sekali gus membina masa depan mereka.

Pada masa sama, pembukaan sekolah secara berfasa ini juga dapat membantu pihak sekolah termasuk guru dan kumpulan sokongan untuk menilai kelancaran sesi persekolahan dalam situasi pandemik Covid-19 dan mengatasi kelemahan yang timbul.

Iklan

"Sekolah yang dibenarkan beroperasi dahulu boleh dijadikan sebagai contoh simulasi dalam memastikan keselamatan ditingkatkan dan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) dipantau sebaiknya sekali gus meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk membenarkan anak kembali ke alam persekolahan,” katanya.

Sementara itu bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud menyifatkan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka mengikut Fasa PPN itu, sebagai langkah konservatif dan terlalu berhati-hati.

Bagaimanapun katanya langkah dan perancangan sebegitu adalah penting pada waktu ini memandangkan situasi pandemik Covid-19 di negara ini masih dalam keadaan tidak menentu serta vaksinasi kepada golongan pelajar masih belum dilaksanakan sepenuhnya.

Katanya, kaedah penggiliran murid secara mingguan yang akan dilaksanakan juga mampu menarik semula pelajar kembali ke sekolah setelah lama mengikuti PdPR sebelum ini.

"Dalam keadaan sekarang kaedah penggiliran murid adalah praktikal terutama dalam memantau murid-murid ke atas pematuhan SOP seperti penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.

Berdasarkan pembukaan sekolah sebelum ini saya pasti murid teruja untuk kembali bersekolah namun pihak sekolah terutama guru perlu tegas dalam memantau pematuhan SOP dalam kalangan murid,” katanya.

Semalam Menteri Kanan Pendidikan Datuk Seri Radzi Jidin mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka bermula 3 Oktober ini mengikut fasa PPN dan menggunakan kaedah penggiliran murid secara mingguan iaitu dengan kadar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan bagi mengurangkan jumlah murid dalam kelas dan risiko penularan Covid-19. - Bernama