Keluarga Malaysia: Sistem komunikasi kerajaan penting

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Sistem penyampaian dan komunikasi kerajaan perlu dimantapkan, dipermudah serta disesuaikan dengan keperluan setiap segmen rakyat, termasuklah anak muda dan golongan terpinggir bagi menjayakan konsep Keluarga Malaysia.

Felo Penyelidik Ilham Centre Profesor Madya Dr Hamidin Abdul Hamid berkata, komunikasi merupakan elemen utama penyampaian dan perkongsian maklumat oleh kerajaan, justeru komunikasi perlu diberi penekanan agar tiada kelompangan antara kerajaan dan rakyat.

Iklan
Iklan

"Salah satu kelemahan kerajaan dan rakyat ialah komunikasi... aspek komunikasi amat penting kerana jika berlaku kelompangan, ia akan menyebabkan ketidakpercayaan dan was-was rakyat terhadap kerajaan.

"Sistem komunikasi perlu terbuka, pelbagai, berterusan dan jangan sekadar pada permukaan sahaja ('touch and go’)...kalau dalam konsep keluarga, selalulah dekati ahli keluarga (rakyat), bukannya ketika bermasalah atau waktu kenduri baru hendak bertanya khabar," katanya dalam bual bicara bertajuk 'Keluarga Malaysia: Suara Anak Muda' di Twitter Spaces yang dikendalikan Bernama Radio pada Isnin.

Iklan

Spaces adalah ciri baharu yang diperkenalkan Twitter untuk pengguna akaun mengadakan perbualan dan perbincangan audio secara langsung bersama 'followers' atau pengikut mereka di laman sosial berkenaan.

Hamidin berkata, komunikasi adalah amat vital untuk memastikan satu-satu dasar yang diperkenalkan kerajaan itu boleh berjaya termasuklah membawa golongan terpinggir menjadi inklusif dalam langkah yang diambil kerajaan.

Iklan

Beliau berkata, memandangkan kerencaman masyarakat berbeza, medium komunikasi untuk mendekati setiap segmen serta keperluan rakyat itu juga adalah berbeza.

"Kalau hendak bercakap dengan anak muda, bukan sahaja perlu lihat medium apa digunakan, tetapi juga lenggoknya dan bahasanya... orang muda tidak dengar kalau guna gaya atau bahasa 'orang tua'.

"Begitu juga untuk mereka yang tinggal di pedalaman, keperluan mereka pasti tidak sama dengan mereka yang tinggal di bandar... setiap orang kadar penyampaian dan penerimaan berbeza, maka dalam konteks ini kita kena bijak," katanya.

Menurut beliau, pada masa kini tidak semua rakyat bergantung pada cara konvensional seperti televisyen, akhbar mahupun radio, malah ada yang lebih senang mendapatkan maklumat dan penjelasan mengenai satu-satu perkara di laman sosial seperti Spaces dan TikTok.

"Kalau dahulu hendak buat apa-apa aduan perlu surat rasmi dan pertemuan... sekarang ini surat rasmi tidak relevan lagi, guna Whatsapp pun boleh jadi viral... jangan bina struktur yang menghalang rakyat dan anak muda untuk menyampaikan apa yang mereka mahu," katanya. - Bernama