SHAH ALAM - Kerajaan perlu menetapkan satu garis panduan mengenai penjualan dan penggunaan penyedut oksigen mudah alih yang berada di pasaran supaya tidak menimbulkan risiko-risiko tertentu.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, semua peralatan perlu mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu supaya dapat memastikan keselamatan dan kualiti produk berkenaan terjamin.
"Peralatan seperti ini (penyedut oksigen mudah alih) melibatkan penggunaan menyedut dan mungkin boleh menimbulkan risiko.
"KKM perlu mengeluarkan satu garis panduan jika peralatan itu perlu mendapatkan kelulusan sebelum dijual di pasaran.
"Ia perlu melalui proses pemeriksaan makmal untuk menguji keselamatan peralatan tersebut dan juga manual untuk pengguna supaya tidak disalahgunakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohd Yusof turut menyarankan orang ramai supaya mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar tentang penggunaan produk tambahan oksigen terutamanya bagi yang membeli secara dalam talian.
"Sekarang ini banyak orang suka membeli melalui dalam talian sebab harganya murah tetapi kadang-kadang kita tidak tahu keselamatannya.
"Penyedut oksigen ini kalau kita tak tahu dari segi penggunaannya mungkin akan memberi kesan sampingan lain yang lebih buruk,” ujarnya.