Perjanjian kerajaan, pembangkang stabilkan politik negara

Iklan
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika sesi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi Dan Kestabilan Politik Di Antara Kerajaan Persekutuan Dan Pakatan Harapan di Bangunan Parlimen pada Isnin.

SHAH ALAM - Kerajaan dan pembangkang bersetuju dan bersepakat untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) sekali gus membuktikan bahawa suhu politik Malaysia beransur pulih dan kembali stabil.

Ini menunjukkan bahawa ahli politik di Malaysia semakin matang dan mempunyai satu tujuan yang sama iaitu memelihara kebajikan rakyat.

Iklan
Iklan

Sebelum ini, pelaksanaan MoU tersebut juga pernah dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memerintah negara, namun ditolak oleh pembangkang.

Memorandum ini membentuk satu kerjasama dwi-partisan yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14.

Iklan

MoU tersebut merangkumi enam perkara termasuk Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Upacara itu diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mewakili kerajaan manakala bagi pihak Pakatan Harapan (PH) diwakili Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Iklan

Sementara itu, semasa pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada Isnin, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam apa jua masalah yang dihadapi.

Selain itu, Seri Paduka Baginda juga menitahkan kerajaan yang baharu dibentuk hendaklah segera melipatgandakan usaha memerangi Covid-19, sekali gus membawa negara dan rakyat keluar daripada ancaman pandemik itu.

Al-Sultan Abdullah menasihatkan agar sebarang pertelingkahan dihentikan supaya Malaysia kekal sebagai negara aman, harmoni dan bersatu padu.

Kerajaan juga diminta untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi menerusi penggubalan dasar-dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan bagi meningkatkan lagi daya saing negara.

Kerajaan juga digesa agar memperkemaskan dasar berhubung kemasukan dan pemberian visa kepada warga asing supaya penularan varian baharu Covid-19 dapat dikawal.

Hari ini, satu undian akan dibuat di Dewan Rakyat bagi mengetahui mereka yang layak mengisi kekosongan jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Blok kerajaan mencalonkan Ahli Parlimen Pontian merangkap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan manakala Pakatan Harapan (PH) mencalonkan bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming.