JAKARTA - INDONESIA. Menteri Perdagangan Indonesia, Enggartiasto Lukita dan rakan sejawatannya dari Australia, Simon Birmingham pada Isnin menandatangani perjanjian berbilion dolar selepas rundingan pertama bermula kira-kira sembilan tahun lalu.
Keputusan itu dibuat selepas ketegangan diplomatik selama beberapa bulan susulan keputusan Canberra mahu memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis.
Perjanjian itu termasuk akses lebih baik kepada petani Australia ke Indonesia selain universiti, penyedia kesihatan dan pelombong juga akan mendapat manfaat daripada kemasukan lebih mudah ke negara ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu.
Akses lebih besar ke pasaran Australia dijangka merangsang industri automotif dan tekstil Indonesia serta meningkatkan eksport kayu, elektronik dan barang-barang perubatan.
Kedua-dua pemimpin itu menyifatkan perjanjian itu sebagai isyarat menandakan hubungan mendalam antara kedua-dua negara yang kadangkala bertelagah tentang beberapa isu luar termasuk dasar keras Canberra terhadap pemohon suaka.
Menurut Birmingham, perjanjian itu menandakan kerjasama baharu antara kedua-dua negara.
"Langkah memeterai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Indonesia-Australia itu membawa dua negara lebih rapat berbanding sebelum ini," ujarnya.
Sementara itu, Lukita menyatakan perjanjian tersebut berpotensi mengubah ekonomi kedua-dua negara.
"Hari ini detik paling dinantikan dalam hubungan Indonesia-Australia," tambahnya.
Perjanjian itu telah dirundingkan sejak 2010 dan perdagangan dua hala itu dilaporkan bernilai AS$11.7 bilion (RM47.6 bilion) pada 2017. - Agensi