Empat ah long sasar warga tempatan bekerja di Singapura diberkas

Iklan
Salah seorang suspek yang ditahan bersama peralatan dipercayai untuk menjalankan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen

JOHOR BAHRU - Polis Johor memberkas empat lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen (ah long) dalam dua serbuan di premis berasingan sekitar Batu Pahat, di sini, Isnin (6 September) minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia lingkungan 23 hingga 36 tahun dipercayai aktif dalam kegiatan berkenaan sejak dua tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil siasatan mendapati sindiket ini mensasarkan warga tempatan atau peminjam yang bekerja di Singapura dengan menawarkan wang tukaran negara republik berkenaan.

"Soal siasat yang dilakukan, suspek mengaku terlibat dalam sindiket ah long dan menawarkan pinjaman antara Dollar Singapura (SGD) 300 hingga SGD 1,000 dengan faedah sehingga 20 peratus.

Iklan

"Kebanyakan peminjam juga adalah warga tempatan yang kini bekerja di Singapura," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Ayob Khan berkata, selain memberikan pinjaman wang, suspek yang ditahan itu juga dipercayai terbabit dalam kegiatan khianat dan ugutan kepada peminjam serta keluarga mereka.

Iklan

Katanya, tiga daripada suspek yang ditahan didapati mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes perjudian, kekerasan, judi serta pinjaman tanpa lesen.

"Dalam operasi ini pihak kami turut bertindak merampas barangan seperti komputer riba, telefon bimbit, wang tunai bernilai RM9,700 dan dokumen mengandungi maklumat peminjam.

"Suspek disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1952 kerana menjalankan operasi pinjaman wang tanpa lesen dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana dipercayai terlibat melakukan jenayah khianat dengan menggunakan api," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kesemua suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama sembilan hari sehingga 15 September ini.

Ayob memberitahu, sejak Januari lalu Polis Johor telah membuka 168 kertas siasatan berkait kes pinjaman wang tanpa lesen termasuk jenayah khianat membaling cat di kediaman dan botol molokov.

Dalam tempoh terbabit, katanya, seramai 45 individu telah ditahan yang dipercayai membabitkan 12 sindiket ah long.