JEMPOL - Seorang ejen broker wanita berputih mata apabila kerugian RM37,330 akibat diperdaya dengan sindiket Love Scam.
Ketua Polis daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, semuanya bermula selepas mangsa berusia 36 tahun dari Felda Gugusan Raja Alias di sini berkenalan dengan seorang lelaki di laman sosial LinkedIn pada 13 Februari lalu.
"Lanjutan perkenalan ini mangsa telah berhubung dengan suspek di aplikasi WhatsApp di talian 79259448725 dan 447708203984 yang mana mangsa kerap berkongsi pengalaman hidup serta isu berkaitan kejuruteraan kerana mereka di bidang yang sama.
"Namun pada 14 April, mangsa diberitahu oleh suspek yang dia telah terima bayaran baki akhir bagi kerja kontrak daripada Turkiye Petrolleri Anonim Ortakligi Turki berjumlah AS$850,000," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Menurutnya, suspek memberitahu telah menamakan mangsa sebagai penerima manfaat serta bayaran ini dilakukan melalui syarikat Unisys Security Agency Company (UK).
Tambahnya, suspek kemudian meminta mangsa untuk menghubungi ejen dari pihak syarikat terbabit bagi menuntut baki bayaran kontrak berkenaan.
"Selepas itu, mangsa juga diminta untuk melakukan pembayaran bagi kelancaran urusan tuntutan.
"Mangsa yang masih belum sedar ditipu telah melakukan pembayaran ke enam akaun berbeza dan melakukan lapan kali transaksi yang keseluruhan berjumlah RM37,330," katanya.
Bagaimanapun katanya, mangsa mula berasa ada sesuatu yang tidak kena apabila masih diminta untuk melakukan pembayaran lalu membuat laporan polis pada Isnin.