'The Pocket Rocketman' idam miliki kejohanan sendiri

Iklan
Azizulhasni memasang impian untuk memiliki kejohanan sendiri, selepas mengucapkan selamat tinggal kepada dunia sukan suatu hari nanti.

KUALA LUMPUR - Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang memasang impian untuk memiliki kejohanan sendiri, selepas mengucapkan selamat tinggal kepada dunia sukan suatu hari nanti.

Lebih menarik, pemenang pingat perak acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini memaklumkan mempunyai perancangan tersendiri selepas persaraannya, bagi memantapkan lagi penganjuran kejohanan sukan termasuk berbasikal di dalam negara.

Iklan
Iklan

"Jika sudah bersara nanti bolehlah anjur Kejohanan Azizulhasni atau sebagainya, namun ia tidak relevan pada masa sekarang kerana saya masih bergiat aktif berlumba.

"Saya harap satu hari nanti impian itu mampu direalisasikan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan forum bertajuk ‘Misi Emas; Antara Minda, Tekad dan Daya’ anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia yang diadakan secara maya pada Selasa.

Iklan

Selain Azizulhasni, ratu gimnastik negara Farah Ann Abdul Hadi dan juara badminton perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik Tokyo Cheah Liek Hou, juga menjadi tetamu jemputan dalam forum khas itu.

Azizulhasni yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu menjelaskan, misi utama penganjuran kejohanan berkenaan juga sebagai platform meningkatkan mutu dan prestasi atlet yang bertanding, khususnya dalam meningkatkan tahap keyakinan diri mereka beraksi dalam saingan kompetitif.

Iklan

Sekiranya kejohanan itu berjaya dianjurkan kelak, ia sudah semestinya membawa satu lagi kejayaan bermakna buat Azizulhasni, setelah banyak kali mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa termasuk bergelar juara dunia pada 2017 dan merangkul pingat gangsa acara keirin pada Sukan Olimpik Rio 2016.

Bulan lepas, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu berusia 33 tahun itu turut berjaya memahat namanya dalam Malaysia Book of Records (MBR), selaku rakyat Malaysia pertama memenangi pingat perak dalam acara keirin berbasikal di Olimpik Tokyo. - Bernama